Tahanan ICE dakwa diberi air minuman berisi cacing

WorldOpinion
6 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tahanan ICE dakwa diberi air minuman berisi cacing

CALIFORNIA: Peguam kepada seorang lelaki yang ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen di California mendedahkan rakaman video yang menunjukkan lelaki berkenaan mengangkat sebotol air dari dalam pusat tahanan itu yang kelihatan tercemar dengan benda seperti cacing.

Rakaman berkenaan diperoleh menerusi panggilan video bersama Carlitos Ricardo Parias, seorang penduduk Los Angeles (LA) yang ditahan selama beberapa bulan di pusat Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) Adelanto, di timur laut LA.

Peguam Parias, Margaret Hellerstein yang berkongsi rakaman itu bersama akhbar The Guardian pada Khamis memaklumkan video berkenaan dirakam pada minggu ini.

Walaupun klip berdurasi singkat dan kabur, ia jelas memaparkan Parias memegang botol plastik berisi air yang mempunyai haiwan perosak kecil berenang di dalamnya.

Menerusi kenyataan yang dikongsi oleh Hellerstein, Parias menyifatkan hidupan tersebut sebagai cacing atau larva, meskipun belum dapat dipastikan spesies sebenar hidupan di dalam botol berkenaan. Beliau mendakwa air tersebut dibekalkan kepada para tahanan untuk diminum.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) tidak memberikan jawapan khusus berhubung video tersebut, sebaliknya jurucakapnya menerusi emel menyatakan fasiliti itu bekalkan air daripada bandar Adelanto iaitu sumber yang sama digunakan oleh penduduk dan premis perniagaan di kawasan sekitar.

Syarikat penjara swasta yang mengendalikan fasiliti ICE berkenaan, Geo Group pada Selasa menegaskan fasiliti itu tidak mengendalikan sistem air sendiri sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada sistem perbandaran tempatan yang diuji secara berkala.

Pendedahan rakaman tersebut berlaku beberapa minggu selepas hakim persekutuan memerintahkan ICE untuk memastikan setiap individu yang ditahan di Adelanto mendapat akses 24 jam kepada air minuman yang bersih dan selamat.

Perintah itu dikeluarkan susulan tindakan saman kelas yang mencabar kondisi berbahaya di pusat tahanan berkenaan apabila para tahanan mendakwa dinafikan makanan mencukupi, air bersih dan rawatan perubatan wajar.

Parias menjelaskan air tercemar itu diambil daripada bejana air yang diserahkan oleh kakitangan pusat tahanan. Beliau kemudian memindahkan air berserta cacing itu ke dalam botol plastik sebagai bahan bukti sebelum menunjukkannya kepada ahli keluarga menerusi panggilan video.

“Inilah yang mereka berikan kepada kami: air tercemar, air berlarva, air berisi cacing hitam kecil yang membunuh kami secara perlahan-lahan di sini. Kami perlukan air minuman yang wajar dan layanan yang lebih baik,” luah Parias dalam kenyataannya yang diterjemahkan daripada bahasa Sepanyol.

Sumber pasti air dalam rakaman tersebut serta sejauh mana air itu diedarkan kepada tahanan lain bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan. Parias merupakan pencipta kandungan TikTok yang dikenali sebagai Richard LA.

Beliau pernah meraih perhatian nasional selepas ditembak oleh ejen ICE pada Oktober lalu sebelum dituduh atas kesalahan menyerang. Hakim persekutuan bagaimanapun menggugurkan pertuduhan itu sebelum beliau dipindahkan ke tahanan ICE bagi proses pengusiran. -AGENSI

The post Tahanan ICE dakwa diberi air minuman berisi cacing appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved