
LOS ANGELES: Seorang lelaki bersenjata ditahan di padang golf milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Los Angeles, dua hari sebelum lawatan pemimpin itu ke lokasi berkenaan, menurut pejabat syerif tempatan.
Suspek dikenali sebagai Jeanine John Taele, 38, dari Downey, California ditahan pada petang Ahad di padang golf Trump di Rancho Palos Verdes.
“Ejen persekutuan berpakaian biasa mengesan suspek berjalan di sekitar kawasan padang golf sambil mengambil gambar dan merakam video serta dipercayai memantau aktiviti perancangan keselamatan,” menurut kenyataan pejabat syerif.
Trump tiba dengan helikopter di kelab golf itu pada petang Selasa bagi menghadiri majlis makan malam kutipan dana anjuran Jawatankuasa Kebangsaan Parti Republikan.
Ketika suspek ditahan, timbalan syerif menemui satu kelopak peluru berkapasiti 16 butir yang diisi peluru jenis berhulu rongga di dalam poket seluarnya, menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek kemudian menemukan sepucuk pistol yang berisi peluru bersama satu lagi kelopak peluru yang turut mengandungi peluru jenis sama.
Penyiasat dari pejabat syerif dan unit antikeganasan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kemudian menggeledah rumah Taele dan menemui selaras raifal gaya serangan, sepucuk pistol, jaket kalis peluru, kelopak peluru berkapasiti tinggi, peluru, dua unit radio serta beberapa buku nota yang mengandungi kenyataan membimbangkan.
Pejabat Peguam Daerah Los Angeles akan menentukan sama ada pertuduhan akan difailkan selepas penyiasat mengemukakan kes itu pada pagi Selasa.
Trump menjadi sasaran beberapa cubaan pembunuhan sejak melancarkan kempen bagi pilihan raya presiden terbaharu.
Pada Julai 2024, Trump menjadi sasaran ketika berkempen di Butler, Pennsylvania. Seorang penyerang bersenjata membunuh seorang hadirin dan mencederakan telinga Trump yang merupakan calon presiden ketika itu.
Beberapa bulan kemudian, seorang lagi lelaki bersenjata ditahan di padang golf di West Palm Beach ketika Trump sedang bermain golf.
Pada April lalu, Trump dipindahkan keluar dari satu majlis di Washington selepas seorang lelaki bersenjata cuba memasuki lokasi berkenaan sehingga mencetuskan insiden berbalas tembakan dengan anggota keselamatan.
Lawatan Trump ke padang golfnya di California pada Selasa tertutup kepada media.
Presiden itu dijangka mengetengahkan pencapaiannya serta mengumpul dana kempen bagi menghadapi pilihan raya pertengahan penggal, ketika Parti Republikan berusaha mengekalkan penguasaan di Kongres AS.
Lawatan Trump ke California, kubu kuat Parti Demokrat yang sering dikritik sebagai bertentangan dengan visinya untuk AS, jarang dilakukan.
Beberapa jam sebelum ketibaan Trump, Gabenor California, Gavin Newsom daripada Parti Demokrat yang dijangka bertanding dalam pilihan raya presiden 2028, menggesa Trump supaya menyalurkan segera dana pembinaan semula Persekutuan yang tertangguh bagi komuniti yang musnah akibat kebakaran hutan di Los Angeles.
Menurut Newsom, isu itu sepatutnya melangkaui kepentingan politik dan Trump perlu menunaikan janjinya untuk membantu keluarga yang terjejas.-AFP
The post Lelaki bersenjata ditahan di padang golf Trump appeared first on Utusan Malaysia.



