Tahanan lolos: Polis tahan kenalan suspek

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tahanan lolos: Polis tahan kenalan suspek
Laporan Sinar Harian mengenai suspek dalam tahanan polis lolos ketika proses serahan kepada penjara.

SUNGAI BULOH - Polis menahan beberapa individu dipercayai kenalan kepada tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, setakat ini jumlah individu yang ditahan tidak dapat didedahkan berikutan operasi memburu suspek masih giat dijalankan.

"Beberapa individu disiasat dan dirakam keterangan, namun bilangannya saya tidak dapat kongsikan kerana operasi masih lagi berjalan.

"Polis sedang dan masih mengikuti jejak suspek ini sejak dari awal operasi dijalankan untuk memburunya," katanya ringkas pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan polis telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur pelanggaran serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam insiden terbabit.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis telah memperhebat operasi memburu dan menjejaki tahanan reman berusia 24 tahun itu.

Tahanan dikenali sebagai Muhammad Hassan itu berdepan beberapa pertuduhan, termasuk kesalahan seksual mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, selain kes rompakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan imigresen mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.