Tahanan PPA Batu Gajah berterima kasih atas sumbangan hidangan makanan Sultan Nazrin

3 Nov 2023 • 4:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BATU GAJAH: Tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah di sini bersyukur dan berterima kasih, atas sumbangan hidangan makanan tengah hari yang dibiayai Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-67 yang disambut hari ini.

Seramai 480 tahanan di PPA itu, menerima sumbangan makanan yang diserahkan oleh Orang Besar Jajahan Kinta Datuk Ab Wahab Azizul Hassan, yang mewakili baginda.

Turut hadir Pengarah PPA Batu Gajah Penolong Komisioner Penjara Marzuki Azmi Bidi.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari hari ini kepada 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan PPA Batu Gajah.

Sumbangan dari pembiayaan Sultan Perak sendiri itu, atas sifat prihatin dan ihsan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan terlibat.

Sementara itu, seorang tahanan yang dikenali sebagai Langs, 31, yang berasal dari Sabah meluah rasa syukur atas perkenan Sultan Nazrin menaja makanan untuk tahanan di PPA itu.

“Kami berterima kasih kepada baginda atas sifat prihatin baginda terhadap kebajikan tahanan seperti kami dan ia secara tidak langsung memberi kami semangat untuk terus mengubah hidup kami apabila keluar kelak,” katanya.

Seorang lagi tahanan Erieyna, 26, berkata sumbangan itu membuktikan golongan seperti mereka tidak dipinggirkan.

“Sudah pasti tahanan seperti kami memerlukan semangat agar kami diberikan peluang kedua dan tajaan ini secara tidak langsung mencerminkan sifat ihsan baginda terhadap kami,” katanya yang berazam untuk mengubah kehidupan selepas dibebaskan dari pusat itu. -Bernama