Tahanan rumah Najib dijangka tidak ubah politik 360 darjah - Penganalisis politik

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tahanan rumah Najib dijangka tidak ubah politik 360 darjah - Penganalisis politik
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu mengenai tahanan rumah Najib.
Image from: Tahanan rumah Najib dijangka tidak ubah politik 360 darjah - Penganalisis politik
Dr Mohammad Tawfik Yaakub

SHAH ALAM – Keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan rumah dijangka tidak mengubah landskap politik negara secara 360 darjah dalam masa terdekat.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, perkembangan itu bagaimanapun berpotensi mengubah beberapa kedinamikan penting khususnya dalam UMNO dan kalangan pengundi Melayu.

“Pada pandangan saya, keputusan ini tidak semestinya mengubah politik Malaysia secara 360 darjah serta-merta tetapi berpotensi mengubah beberapa kedinamikan penting khususnya dalam UMNO dan kalangan pengundi Melayu.

“Najib masih mempunyai nilai simbolik serta jaringan politik yang kuat. Walaupun menjalani tahanan rumah dan tertakluk kepada syarat pengampunan, kedudukannya yang kini lebih dekat dengan keluarga serta penyokong boleh menghidupkan semula semangat kelompok 'Bossku',” katanya kepada Sinar Harian.

**media[3654813]**

Menurut Mohammad Tawfik, perkembangan itu juga berpotensi mengubah percaturan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, namun lebih sebagai faktor penguat strategi berbanding penentu kemenangan.

“Bagi saya, Najib berpotensi menjadi simbol untuk menyatukan semula sebahagian akar umbi, mengaktifkan sentimen 'Bossku' dan membantu UMNO memulihkan keyakinan penyokong tradisi khususnya di kawasan Melayu.

“Kehadiran beliau yang lebih dekat dengan keluarga dan penyokong juga boleh memberi nilai kepada mobilisasi serta naratif kempen UMNO,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kesan terhadap kedinamikan politik tersebut tidak boleh dianggap berlaku secara automatik memandangkan Najib masih berdepan batasan undang-undang termasuk kewajipan membayar denda RM50 juta serta syarat tahanan rumah.

“Bagi saya, ini bukan pembebasan sepenuhnya yang membolehkan beliau kembali aktif secara terbuka dalam politik atau memimpin kempen seperti dahulu,” kata beliau.

Menurut Mohammad Tawfik, sejauh mana perkembangan itu memberi kesan terhadap politik negara turut bergantung kepada cara UMNO menguruskan isu Najib selepas ini.

Katanya, jika parti itu menjadikan Najib sebagai simbol kebangkitan secara berlebihan, ia mungkin membantu UMNO memperoleh semula sokongan penyokong tegar dan sebahagian pengundi Melayu.

Namun katanya, pendekatan sedemikian pada masa sama berpotensi memberi kesan berbeza dalam kalangan segmen pengundi lain terutama mereka yang memberi perhatian terhadap isu integriti dan tadbir urus.

“Pada masa sama, isu 1Malaysia Development Berhad boleh kembali menjadi liabiliti dalam kalangan pengundi bandar, atas pagar dan bukan Melayu yang menilai isu integriti serta tadbir urus.

“Bagi saya, perubahan ini lebih tepat dilihat sebagai pengubah suasana dan sentimen politik, bukannya faktor yang serta-merta menukar keseluruhan peta kuasa,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved