Tahanan rumah Najib: Kawat duri, lampu sorot tidak masuk akal – Peguam

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 1:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tahanan rumah Najib: Kawat duri, lampu sorot tidak masuk akal – Peguam
Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Agong, Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

KUALA LUMPUR – Cadangan memasang kawat duri, lampu sorot serta menempatkan pengawal bersenjata di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani tahanan rumah disifatkan tidak masuk akal.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, cadangan sedemikian tidak selari dengan rasional pelaksanaan tahanan rumah yang sepatutnya membolehkan seseorang menjalani kehidupan secara normal.

Menurutnya, terlalu banyak pandangan dan perbincangan dikemukakan mengenai cara tahanan rumah perlu dilaksanakan, termasuk persoalan sama ada kediaman seseorang itu perlu mempunyai ciri-ciri seperti penjara.

“Kalau ada penahanan di rumah, bagaimana keadaan rumah, adakah keadaan rumah seperti penjara, adakah kita pasang kawat duri di sekeliling kawasan, seperti kawat duri di kawasan tahanan perang dan sebagainya?

“Macam-macam ya, terlalu banyak ‘pakar’ tidak rasmi yang membuat kenyataan yang kadang-kadang terlalu mengejutkan dan langsung tidak mempunyai logik,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.

Muhammad Shafee berkata, jika tahanan rumah dilaksanakan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan, perkara berkenaan bukan sesuatu yang ganjil.

“Bagi saya, penahanan rumah kalau berlaku dan jika berlaku, merupakan sesuatu yang bukan luar biasa sebab perkara ini lazim dilakukan dalam banyak kes,” katanya.

Mengulas cadangan supaya kediaman Najib dikawal seperti sebuah penjara, Shafee menyifatkannya sebagai pandangan yang terlalu spekulatif dan tidak berasas.

“Kalau anda membaca kebanyakan artikel dan media sosial, orang yang bercakap, seolah-olah mereka sangat pakar, sedangkan semuanya merapu.

“Jadi, kalau anda meminta saya memberikan komen mengenai perkara-perkara yang merapu, saya tidak boleh kerana ia terlalu spekulatif,” katanya.

Shafee turut menjelaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah seharusnya tidak hanya dilihat dalam konteks Najib, sebaliknya wajar menjadi satu kaedah yang boleh digunakan kepada banduan lain mengikut peruntukan dan syarat yang ditetapkan.

Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Agong, Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada tarikh sama.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.

Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat berkenaan terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara

Najib dihukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman berkenaan.

Pada hari sama, Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Tidak lama selepas itu, Najib mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022. Permohonan tersebut kemudian dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.

Pada 2 Februari 2024, BHEUU mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved