Tahanan rumah Najib: Laksana titah Agong atau letak jawatan - Wan Saiful

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 10:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tahanan rumah Najib: Laksana titah Agong atau letak jawatan - Wan Saiful
Dari kiri: Albert Tei, Wan Saiful dan Albert Kok pada sidang media di Bilik Gerakan PN DUN Kesidang pada Sabtu.

KOTA MELAKA - Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar perlu melepaskan jawatan sekiranya tidak bersedia melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan mempersoalkan titah berkenaan atas alasan terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan tidak munasabah, malah disifatkan sebagai usaha melengahkan pelaksanaannya.

Beliau berkata, Peguam Negara yang juga anggota Lembaga Pengampunan sepatutnya mengemukakan sebarang kekeliruan ketika mesyuarat lembaga itu berlangsung dan bukannya membangkitkannya selepas keputusan dibuat.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Wawasan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu, perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai kesediaan Peguam Negara untuk melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong.

"Kenapa tak logik? Sebab Peguam Negara duduk dalam Lembaga Pengampunan. Kalau dia rasa keliru, kalau dia rasa tidak pasti ada kekeliruan atau ambiguiti yang perlu diperjelaskan, tanyalah dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

"Kenapa lambat sangat, habis mesyuarat baru fikir? Dia tak boleh jadi afterthought macam ini dan bagi saya, ini hanyalah satu perkara yang dilakukan untuk melengahkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) DUN Kesidang, di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong titah tidak sepatutnya timbul kekeliruan isu tahanan rumah Najib

Peguam Negara didesak tarik balik arahan tangguh tahanan rumah Najib - Veteran UMNO

Beliau memaklumkan, laporan polis telah dibuat calon PN bagi DUN Kesidang, Albert Kok dan Pengarah Media PN DUN Kesidang, Albert Tei berhubung dakwaan penghinaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dalam isu titah tahanan rumah Najib.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mendakwa tindakan itu bukan pertama kali berlaku dan menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai satu lagi tindakan yang tidak sepatutnya terhadap institusi diraja.

Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara supaya melepaskan jawatan sekiranya berpendirian bahawa titah Yang di-Pertuan Agong boleh diketepikan.

"Kalau sekiranya Agong pun dia nak lawan, lebih baik dia letak jawatan. Jangan terus memegang jawatan itu dan menjadi boneka kepada mana-mana pihak yang mempergunakan institusi tersebut untuk kepentingan mereka," jelas beliau.

Dalam pada itu, Wan Saiful membandingkan isu berkenaan dengan pengampunan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, yang menurutnya tidak menimbulkan sebarang persoalan atau kelewatan dalam pelaksanaannya.

Beliau mempersoalkan mengapa perkara berbeza dibangkitkan apabila ia melibatkan Najib, sedangkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sepatutnya dihormati tanpa mengira individu yang menerima manfaat daripadanya.

"Kalau sekiranya Datuk Seri Anwar sekarang tiba-tiba boleh kata dia tidak setuju pula dengan kuasa Agong untuk mengampunkan, memberi pengampunan atau memberikan arahan supaya dilakukan tahanan di rumah, maka sepatutnya masa dia keluar penjara dulu pun dia persoalkan juga.

"Ini bila berlaku kepada dia, dia ucap Alhamdulillah. Bila berlaku kepada orang lain, dia kata na'uzubillah. Tak bolehlah begitu. Ini satu hipokrasi pada tahap istimewa yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau menegaskan, perbezaan pandangan mengenai pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memandang remeh titah Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, semua pihak termasuk kerajaan perlu menjunjung dan memartabatkan institusi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu seperti yang ditegaskan Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Setuju atau tidak Datuk Seri Najib dikenakan tahanan rumah itu isu lain. Mungkin ada rasa tidak puas hati atau tidak selesa, tetapi titah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved