
PETALING JAYA – “Hormati titah dan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, usah derhaka!”
Itu gesaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ditangguhkan sementara, hari ini.
Asyraf Wajdi menegaskan, segala usaha untuk menangguhkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong dan Keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu bentuk penderhakaan dan pencabulan hak.
“Hormatilah titah dan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah peruntukan perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Segala usaha untuk menangguhkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong dan Keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu bentuk penderhakaan dan pencabulan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.
Beliau turut mempersoalkan keperluan menangguhkan pelaksanaan tahanan dalam rumah setelah pembayaran denda telah sempurna dilunaskan, petang tadi.
“Tuanku melalui Lembaga Pengampunan telahpun membuat keputusan dan menitahkan syarat-syarat yang telahpun dipenuhi.
“Apa keperluan untuk menangguhkan lagi pelaksanaan tahanan dalam rumah setelah pembayaran denda telah sempurna dilunaskan?” soalnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan buat sementara waktu.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), badan itu berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil.
Jelas AGC, keputusan itu secara khususnya dibuat berdasarkan dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Hormati titah, kuasa pengampunan Agong, usah derhaka! – Asyraf Wajdi appeared first on Kosmo Online.






