'Tahfiz dijadikan wayang politik lindung isu UEC' - Mohamed Sukri

LocalPolitics
15 May 2026 • 12:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tahfiz dijadikan wayang politik lindung isu UEC' - Mohamed Sukri
Mohamed Sukri

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendakwa pengumuman kerajaan mengenai peluang lepasan tahfiz memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanyalah ‘wayang politik persepsi’ bagi mengurangkan sensitiviti isu berkaitan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, aliran tahfiz tidak pernah berdepan masalah besar untuk melanjutkan pengajian ke IPTA kerana pelajar tahfiz turut menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar lain.

Menurutnya, ramai lepasan tahfiz sebelum ini berjaya menyambung pengajian ke IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui saluran biasa serta menjadi profesional dalam pelbagai bidang.

"Jadi kenapa tiba-tiba perlu keluar kenyataan khas kononnya lepasan tahfiz kini berpeluang masuk ke IPTA?

"Rakyat boleh membaca apa yang sedang berlaku. Hakikatnya isu utama yang mahu diumumkan sebenarnya ialah laluan untuk UEC," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau mendakwa, nama tahfiz sengaja diletakkan bersama isu tersebut bagi menjadikan naratif itu lebih mudah diterima masyarakat Melayu Islam.

Katanya, aliran tahfiz tidak sepatutnya dijadikan ‘tempelan’ untuk menutup fokus sebenar kerajaan.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, sekiranya kerajaan benar-benar serius mahu memperkasa pendidikan tahfiz, beberapa isu utama perlu diberi perhatian termasuk bantuan kepada institusi tahfiz, kebajikan guru, pembangunan kurikulum dan pengiktirafan institusi.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu memperluaskan akses teknologi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan tahfiz.

"Jangan gunakan nama tahfiz sekadar kosmetik politik untuk menghalalkan agenda lain.

"Rakyat hari ini semakin celik, tidak semua boleh diselindungkan dengan wayang dan permainan persepsi atas nama Madani,” tambah beliau.