Tahniah! Syahir Rosdi Dinobat Tekong Terbaik Dunia, Terima Pengiktirafan ISTAF

6 Jan 2026 • 12:04 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Syahir Rosdi secara rasminya dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa.

Status berprestij itu diumumkan oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk dunia berkenaan.

image is not available

Syahir Rosdi Dinobat Tekong Terbaik Dunia

Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghormatan terhadap pencapaian cemerlang Syahir di pentas antarabangsa, khususnya susulan prestasi luar biasa beliau dalam Kejohanan Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.

Dalam sijil penghargaan yang dikeluarkan ISTAF, Syahir dipuji atas penguasaan teknikal bertaraf elit, kecerdikan taktikal, ketahanan mental serta kecemerlangan kompetitif yang membolehkannya tampil konsisten di tahap tertinggi sepak takraw dunia.

image is not available

Menurut ISTAF, keupayaan Syahir mewakili Malaysia dengan penuh wibawa, termasuk kebolehannya menyaingi serta mencabar pemain elit Thailand, telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan antarabangsa yang meluas.

“Malah, pujian daripada media sukan Thailand sendiri mengesahkan kedudukan Syahir sebagai antara tekong terbaik dunia ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

image is not available

Sijil penghargaan berkenaan telah disampaikan oleh Datuk Abdul Halim Kader pada 2 Januari lalu di Singapura sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar Syahir kepada pembangunan sepak takraw antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan serta peranannya dalam mengangkat martabat sepak takraw Malaysia di persada dunia.

image is not available

Sementara itu, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia turut merakamkan ucapan tahniah kepada Syahir.

“Tahniah Muhammad Syahir Mohd Rosdi atas pengiktirafan daripada International Sepaktakraw Federation (ISTAF). You are the Best Tekong in the World!” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Pengiktirafan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengharumkan nama Malaysia dalam arena sepak takraw antarabangsa.

Sumber: FB Persekutuan Sepaktakraw Malaysia – PSM 

The post Tahniah! Syahir Rosdi Dinobat Tekong Terbaik Dunia, Terima Pengiktirafan ISTAF appeared first on Borak Daily.