Taiping terima anugerah ‘Best Muslim Friendly Nature Destination’ pada World Islamic Tourism Awards 2023

22 Sep 2023 • 4:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Taiping terima anugerah ‘Best Muslim Friendly Nature Destination’ pada World Islamic Tourism Awards 2023

zakisalleh

22/09/2023 - 16:06

TAIPING 22 Sept - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mencatat sejarah tersendiri apabila menerima anugerah ‘Best Muslim Friendly Nature Destination’ sempena majlis World Islamic Tourism Awards (WITA) 2023.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, anugerah tersebut merupakan pencapaian yang sangat bermakna kepada warga MPT.

Menurut beliau, ia datang pada waktu sangat tepat dengan Sambutan 150 Tahun Bandar Taiping dan Tahun Melawat Perak 2024 yang semakin hampir.

"Pengiktirafan ini adalah usaha gigih yang telah kita sumbangkan dalam mempromosikan Taiping sebagai destinasi pelancongan yang mesra Muslim dan menonjolkan keindahan semula jadi yang kita miliki.

image is not available
Delegasi MPT bersama anugerah yang diterima.

"Ini adalah bukti bahawa MPT terus komited dalam memastikan pelancongan di Taiping adalah berteraskan prinsip-prinsip yang menjunjung tinggi nilai-nilai agama dan kelestarian alam," ujarnya dalam kenyataan.

Pengarah Perancang dan Pembangunan Bandar MPT, Syahrulnizam Baharom dan Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan, Muhammad Hafizzuddin Azhar mewakili MPT menerima anugerah itu

WITA berlangsung di Sunway Resort Hotel, Selangor dianjurkan bagi menghargai mereka yang menyumbang kepada kejayaan dalam industri pelancongan Islam.

image is not available

Sebanyak 55 anugerah diberikan kepada individu dan pemain industri yang bekerja keras memastikan industri pelancongan Islam di rantau ini terus pada tahap terbaik.

Penerima anugerah ini telah dipilih dengan teliti menerusi piawaian pematuhan yang ditetapkan oleh panel pemilih WITA yang masing-masing berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri pelancongan. - DagangNews.com