Taiwan tawar insentif tarik pelancong Malaysia berkunjung semula

Business & Finance
12 Sep 2026 • 8:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Taiwan tawar insentif tarik pelancong Malaysia berkunjung semula
Taiwan menawarkan kenangan bermakna buat setiap pengunjung menerusi makanan, budaya, alam semula jadi dan aktiviti membeli-belah.

TAIWAN memperhebat usaha menarik pelancong Malaysia untuk kembali berkunjung menerusi pemberian insentif khas, selain memperkukuh kerjasama dengan pemain industri pelancongan tempatan.

Menerusi kempen 'Return to Taiwan' dan 'Double the Luck', pelancong yang pernah memasuki Taiwan pada atau selepas 1 Januari 2023 berpeluang menerima kredit perbelanjaan bernilai NT$5,000 (RM644).

Pelancong yang membawa teman perjalanan pula layak menerima tambahan NT$3,000 (RM386), menjadikan keseluruhan manfaat sehingga NT$8,000 (RM1,030).

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Joseph Cheng berkata, Malaysia merupakan antara pasaran sumber utama Taiwan di bawah Dasar Hala Tuju Baharu ke Selatan (New Southbound Policy).

Menurutnya, kemudahan kemasukan tanpa visa serta sambungan penerbangan antara kedua-dua negara menjadi antara faktor penting dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia berkunjung ke Taiwan.

“Taiwan bukan sekadar destinasi percutian, malah menawarkan pengalaman baharu dan kenangan bermakna pada setiap kunjungan.

“Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan berkunjung ke Taiwan untuk menerokai keistimewaannya serta menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Beliau berkata, kepelbagaian tarikan termasuk makanan, budaya, alam semula jadi dan aktiviti membeli-belah membolehkan pelancong menikmati pengalaman berbeza pada setiap kunjungan.

“Promosi ini diharap dapat membuka mata masyarakat Malaysia terhadap keunikan dan kepelbagaian tarikan pelancongan Taiwan yang sentiasa meriah dari pagi hingga malam.

“Bila-bila masa dan di mana sahaja, Taiwan sentiasa bersedia mengalu-alukan kedatangan pelancong Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur dan Malaysia Airlines akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) meliputi penganjuran lawatan suai kenal (FAM Trip), pembangunan produk serta pemasaran bersama bagi memperkukuh hubungan pelancongan antara Malaysia dan Taiwan.

Kerjasama itu turut merangkumi segmen korporat menerusi Tourism Dual-Wheel Drive Program yang berkuat kuasa pada 1 September lalu dengan menawarkan insentif kepada pelancong mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang melanjutkan tempoh penginapan bagi tujuan rekreasi.

Pada masa sama, Taiwan memperluas usaha menarik pasaran pelancong Muslim dengan menjemput pengendali pelancongan Muslim Malaysia menyertai Pavilion Taiwan pada Pameran MATTA Kuala Lumpur yang berlangsung dari 4 hingga 6 September lalu.

Taiwan turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan mesra Muslim selepas menduduki tempat ketiga dunia dalam kalangan destinasi bukan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2026.

Joseph sebelum ini mengetuai delegasi membabitkan 44 organisasi dan 76 wakil industri ke Malaysia bagi memperkenalkan Tourism Dual-Wheel Drive Program serta kempen Taiwan – 100 Ways, selain memperkukuh kerjasama dengan pemain industri tempatan.

Usaha berkenaan mencerminkan strategi Taiwan bukan sahaja untuk menarik pelancong baharu dari Malaysia, malah menggalakkan mereka yang pernah berkunjung untuk kembali menikmati pengalaman dan tarikan berbeza.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved