
KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah mahu doktor dari Semenanjung dikerah sementara ke hospital di negeri ini yang berdepan kekurangan pegawai perubatan kritikal, sambil memberi amaran bahawa pegawai perubatan yang kelesuan dan pesakit mereka tidak boleh menunggu sehingga Februari untuk mendapatkan bantuan.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, langkah pengambilan khas bagi mengisi 750 kekosongan jawatan tetap pegawai perubatan di Sabah dan Sarawak dialu-alukan, namun tarikh lapor diri yang dicadangkan pada 15 Februari 2027 masih lebih tiga bulan lagi.
“Doktor dan pesakit kita tidak boleh menunggu sehingga Februari untuk mendapatkan bantuan. Tindakan segera bagi menangani kekurangan kakitangan perlu dilaksanakan seiring dengan proses pengambilan tetap,” katanya pada Sabtu.
Beliau mencadangkan supaya satu program penyelarasan segera bagi penempatan sementara doktor dari Semenanjung dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada fasiliti yang mengalami kekurangan kakitangan dan beban kerja paling kritikal.
Katanya, penempatan itu perlu mempunyai tempoh penggiliran yang jelas, peruntukan perjalanan dan penginapan serta sokongan operasi yang mencukupi bagi memastikan waktu rehat yang munasabah dan mengurangkan tugas berturut-turut yang berlebihan.
Brandon berkata, situasi di Hospital Ranau menggambarkan krisis tenaga kerja yang lebih meluas di Sabah.
Merujuk kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), beliau berkata 11 daripada 19 pegawai perubatan di hospital itu berpindah keluar susulan pelaksanaan pengambilan tetap baru-baru ini, manakala hanya seorang daripada tujuh pegawai perubatan pengganti yang ditetapkan dari luar Sabah melapor diri untuk bertugas.
Katanya, hospital itu kini beroperasi dengan sembilan doktor, termasuk pengarahnya.
Beliau berkata, JKNS turut melaporkan anggaran kekurangan 245 pegawai perubatan di seluruh negeri susulan pelaksanaan pengambilan itu, dengan 67 peratus calon pengganti dari luar Sabah gagal melapor diri.
Brandon menyifatkan laporan CodeBlue mengenai doktor yang bertugas selama 48 hingga 72 jam berturut-turut dengan waktu rehat tidak mencukupi sebagai amat membimbangkan.
“Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan peribadi luar biasa menjadi asas rutin bagi operasi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting,” katanya.
Beliau berkata, MMA Sabah turut menerima laporan daripada doktor di hospital lain di negeri ini mengenai waktu bekerja yang panjang dan tugas panggilan yang semakin kerap, sehingga ada antara mereka mempertimbangkan untuk meninggalkan perkhidmatan.
Katanya, setiap kekosongan jawatan yang tidak diisi menambah beban doktor yang masih bertugas, sekali gus mewujudkan kitaran keletihan, kelesuan melampau dan peletakan jawatan yang mengancam kesinambungan rawatan pesakit.
Brandon mengalu-alukan langkah JKNS menempatkan tiga pegawai perubatan tambahan ke Ranau secara berperingkat, namun berkata campur tangan di peringkat nasional diperlukan kerana fasiliti lain di seluruh Sabah turut berdepan kekurangan serupa.
Beliau turut mengingatkan bahawa proses pengambilan tetap itu mungkin menghadapi masalah sama sekiranya faktor yang mempengaruhi kesediaan doktor menerima dan kekal dalam penempatan di Sabah tidak ditangani.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk pemulihan kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan, insentif lebih baik bagi penempatan di Malaysia Timur dan kawasan luar bandar, bantuan perpindahan yang dibayar terlebih dahulu, penginapan kakitangan yang selamat serta kemudahan infrastruktur asas yang boleh diharapkan.
Katanya, doktor juga memerlukan tempoh penempatan yang jelas, aturan pertukaran yang telus dan peluang perkembangan kerjaya yang meyakinkan.
Brandon menggesa supaya satu tindakan bersepadu melibatkan Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Sabah dilaksanakan bagi menyediakan bantuan segera dari segi tenaga kerja, pembiayaan dan sokongan praktikal.
“Kita perlu menjadikan Sabah lebih menarik untuk doktor datang, lebih mampan untuk mereka kekal dan membolehkan mereka yang sudah berkhidmat di sini meneruskan tugas tanpa mengorbankan kesihatan sendiri.
“Doktor kita memerlukan bantuan sekarang juga. Pesakit kita memerlukan tindakan sekarang juga,” katanya.





