‘Tak cuci, terus pakai’ – Muka dijangkiti penyakit kulit selepas pakai baju bundle

Health & FitnessLifestyle
24 Apr 2025 • 1:02 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Seorang pemuda dari Indonesia tular di media sosial selepas berkongsi pengalaman pahit apabila disahkan menghidap penyakit kulit molluscum contagiosum, dipercayai berpunca daripada pakaian bundle yang dipakai tanpa dicuci terlebih dahulu.

Dalam video yang dikongsikan di platform X, pemuda itu menjelaskan bahawa jangkitan bermula dengan benjolan kecil di jari telunjuk sebelum merebak ke seluruh wajah kerana tindakannya memicit benjolan tersebut dan hanya mencuci darah menggunakan tisu kering.

“Saya terus pakai baju bundle lepas beli. Tak sangka kesannya macam ni. Kita tak tahu siapa yang pakai baju tu dulu, kalau dia ada penyakit kulit, virus boleh melekat dan berjangkit pada badan kita,” katanya.

Tambahnya lagi, tiada ahli keluarganya yang mempunyai masalah kulit tersebut, menyebabkan dia percaya puncanya adalah daripada baju terpakai berkenaan. Dia turut mengakui kesilapan sendiri kerana tidak mencuci pakaian itu terlebih dahulu.

Perkongsian itu menjadi tular selepas dimuat naik semula oleh akaun popular @awesomeposted yang secara sinis menyebut kemungkinan pakaian itu berasal dari kawasan berisiko tinggi seperti Philadelphia, Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan isu kesihatan awam dan ketagihan dadah.

Kisah pemuda ini mencetuskan pelbagai reaksi netizen. Ramai yang menasihati agar semua pakaian terpakai dicuci bersih terlebih dahulu sebelum digunakan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif.

Walaupun diuji dengan penyakit kulit itu, pemuda tersebut kekal positif dan berharap keadaannya pulih sebelum menyambut Hari Raya.