Tak Dapat Ke Tanah Suci, Penduduk Gaza Pakai Ihram & Bertalbiah Di Sebalik Runtuhan

28 May 2026 • 12:23 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Tak Dapat Ke Tanah Suci, Penduduk Gaza Pakai Ihram & Bertalbiah Di Sebalik Runtuhan

Tak Dapat Ke Tanah Suci, Penduduk Gaza Pakai Ihram & Bertalbiah Di Sebalik Runtuhan

Tahun berganti tahun, penderitaan penduduk di Palestin masih belum menemui titik noktahnya.

Kemusnahan akibat serangan Israel tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Melihat gambar sahaja sudah cukup memilukan, apatah lagi bagi penduduk Palestin sendiri yang menanggung bebannya.

Lebih menyedihkan, mereka sekali lagi pada tahun ini tidak berpeluang untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Baca juga:

Menurut Anadolu Ajansi, ribuan rakyat Palestin telah dihalang daripada melaksanakan ibadah itu untuk tahun ketiga berturut-turut kerana Israel telah menutup lintasan Gaza.

Ketika jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun di Mekah, mereka hanya mampu berdoa kepada Allah SWT dan menyambut ketibaan Aidiladha seadanya di sebalik runtuhan bangunan yang musnah.

Walaupun tidak berada di Tanah Suci, semangat dan harapan penduduk Gaza tidak pernah luntur.

Image from: Tak Dapat Ke Tanah Suci, Penduduk Gaza Pakai Ihram & Bertalbiah Di Sebalik Runtuhan

Tetap pakai ihram & bertalbiah

Menerusi beberapa video yang dikongsikan oleh Mohameed Naser di Instagram, mereka tetap memakai ihram dan bertalbiah sempena hari kemuncak haji.

Dengan latar belakang runtuhan, seorang penduduk dilihat memanjatkan doa dan memohon keampunan daripada Allah SWT kerana tidak dapat berada di Arafah.

Beberapa penduduk lain juga dilihat tetap bersemangat dan turut bertalbiah bersama-sama.

Untuk pengetahuan, sebelum perang, jemaah haji dari Gaza masih dapat menunaikan ibadah haji setiap tahun walaupun berdepan sekatan Israel.

Mereka akan mendaftar dengan Kementerian Wakaf dan menunggu giliran melalui sistem undian.

Selepas itu, mereka akan keluar melalui lintasan sempadan Rafah ke Mesir, menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sebelum terbang ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah di Mekah dan Madinah.

Kementerian Wakaf dengan penyelarasan pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi serta syarikat haji dan umrah, menguruskan aspek logistik dan keselamatan perjalanan jemaah.

Ketua Pengarah Haji dan Umrah di Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza, Rami Abu Staitah berkata kuota haji Palestin di bawah protokol yang ditandatangani dengan Arab Saudi ialah 6,600 jemaah, dengan Gaza menerima 38 peratus atau 2,508 jemaah.

Dalam pada itu, 2,473 rakyat Palestin dari Gaza telah lulus undian haji sejak 2013 dan sedang menunggu untuk melakukan perjalanan.

Daripada jumlah itu, 71 orang meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji, sama ada akibat serangan Israel atau sebab semula jadi, manakala 2,402 lagi masih tidak dapat melakukan perjalanan.