
GAZA – Ketika jutaan umat Islam dari seluruh dunia sedang bersiap menyambut Aidiladha dan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, rakyat Palestin di Gaza pula terus berdepan realiti pahit akibat peperangan yang masih belum berkesudahan.
Bukan sahaja kehilangan tempat tinggal dan insan tersayang, malah ribuan penduduk Gaza sekali lagi terpaksa melupakan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, rakyat Palestin di Gaza dihalang daripada menunaikan ibadah haji untuk tahun ketiga berturut-turut susulan penutupan lintasan keluar masuk oleh Israel.
Ketika jutaan jemaah berkumpul di Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu, penduduk Gaza hanya mampu memanjatkan doa dari bumi yang sedang dihimpit peperangan dan kemusnahan.
Aidiladha disambut dalam suasana serba daif dengan runtuhan bangunan dan kesan serangan yang masih jelas kelihatan di sekeliling mereka.
Walaupun berdepan ujian berat, semangat rakyat Gaza dilihat tidak pernah luntur.
“Kami Hanya Mampu Bertalbiah Dari Gaza”
Menerusi beberapa video yang dikongsikan oleh Mohameed Naser di Instagram, kelihatan penduduk Gaza tetap mengenakan pakaian ihram dan melaungkan talbiah sempena hari kemuncak ibadah haji.
Dalam salah satu video tersebut, seorang lelaki dilihat berdiri di tengah runtuhan sambil menadah tangan memohon keampunan daripada Allah SWT kerana tidak dapat berada di Arafah seperti umat Islam lain.
Beberapa penduduk lain turut bersama-sama bertalbiah walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.
Sebelum konflik semakin memuncak, jemaah haji dari Gaza masih berpeluang menunaikan ibadah haji setiap tahun walaupun perlu melalui pelbagai sekatan.
Mereka akan mendaftar dengan Kementerian Wakaf sebelum menunggu giliran menerusi sistem undian.
Jemaah kemudian perlu melalui lintasan Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah di Mekah dan Madinah.
Ketua Pengarah Haji dan Umrah di Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza, Rami Abu Staitah berkata kuota haji Palestin di bawah protokol bersama Arab Saudi adalah sebanyak 6,600 jemaah dengan 2,508 kuota diperuntukkan kepada Gaza.
Namun sehingga kini, ribuan rakyat Palestin masih tidak dapat menunaikan ibadah tersebut akibat peperangan yang berterusan.
Difahamkan, seramai 2,473 rakyat Gaza yang telah lulus undian haji sejak tahun 2013 masih menunggu peluang untuk berangkat ke Tanah Suci.
Daripada jumlah itu, 71 individu dilaporkan meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji sama ada akibat serangan Israel atau faktor semula jadi, manakala lebih 2,400 lagi masih terkandas dan terus menanti dengan penuh harapan. – The Malaysian Update
The post Rakyat Gaza Sekali Lagi Gagal Tunai Haji, Sambut Aidiladha Di Tengah Runtuhan Perang appeared first on The Malaysian Update.
