
Tak Dapat Kelulusan Dari LFP, Hakim Ziyech Gagal Sertai PSG
PARIS — Bintang bola sepak Maghribi, Hakim Ziyech gagal sertai kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) selepas kontraknya ditolak oleh Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP), lapor AFP.
Memetik AFP, PSG telah meminta LFP untuk meluluskan kontrak itu walaupun kertas kerja yang diperlukan siap sebelum tarikh akhir jendela perpindahan Perancis semalam.
Difahamkan, kesemua kelab Ligue 1 (Perancis) perlu menghantar semua kontrak pemain pada jam 11 malam Selasa (satu jam awal) sebelum didaftarkan dalam sistem FIFA bagi proses pengesahan pemain antarabangsa.
Bagaimanapun, menurut sumber, Chelsea gagal menghantar dokumen yang diperlukan pada masa yang sepatutnya bagi proses tersebut.
Oleh hal demikian, PSG telah meminta LFP untuk mendapatkan kelulusan khas bagi mendapatkan pemain itu namun turut ditolak.
Lebih menyedihkan lagi, pemain sayap Chelsea itu telah selesai menjalani ujian perubatan dan kedua-dua kelab berkenaan telah mencapai kata sepakat untuk meminjamkan Hakim ke PSG hingga akhir musim ini.
Sementara itu, Wartawan Bola Sepak Antarabangsa, Fabrizio Romano turut mengumumkan kegagalan PSG untuk mendapatkan pemaIn itu dalam satu hantaran di Facebook.
“Sudah berakhir, Hakim Ziyech tidak akan menyertai Paris Saint-Germain, perjanjian tamat pada saat akhir.” katanya.
Tambah Fabrizio, tiada peluang diberikan bagi menyelesaikan isu itu selepas rayuan dibuat oleh PSG akibat ditolak serta-merta oleh LFP.
Hal ini membuatkan kelab berkenaan kecewa dengan Chelsea selepas kontrak tersebut gagal dan pemain berkenaan telah melakukan ujian perubatan serta menandatangani kontrak sebagai pemain PSG.
Pemain kelahiran Belanda itu menjadi sasaran PSG untuk menambah ketajaman pada bahagian serangan mereka selepas pemergian penyerang Sepanyol, Pablo Sarabia yang berpindah ke Wolverhampton Wanderers pada awal Januari lalu.
Sehingga kini, kelab berkenaan masih belum mendapatkan sebarang pemain baharu.
PSG kini menduduki takhta liga dan dijangka menentang Bayern Munich dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) bagi pusingan 16 terakhir pada 14 Februari nanti.
Terdahulu, selain Hakim Ziyech, PSG turut mengintai bek tengah Inter Milan Slovakia, Milan Skriniar. Bagaimanapun, pemain itu dilaporkan mahu kekal di kelab Itali itu sehingga akhir musim ini sehingga tamat kontrak.
Sumber: AFP
The post Tak Dapat Kelulusan Dari LFP, Hakim Ziyech Gagal Sertai PSG appeared first on Siakap Keli.

