
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Azeva enggan melayan kata-kata sinis netizen yang berpandangan kemasukannya dalam dunia seni mendapat laluan mudah hasil mendapat pertolongan ibunya, Datuk A. Aida.
Katanya, meskipun mendapat bantuan, dia tetap berusaha untuk membuktikan keupayaannya kepada umum, bukan mengharapkan laluan mudah semata-mata.
“Sejak dulu orang mempertikaikan kemampuan saya. Ada yang kata semua yang saya kecapi hari ini adalah hasil pertolongan ibu saya.
“Tapi saya cuba buktikan kemampuan, masuk Talk To My manager (TTMM) dan secara perlahan-lahan orang melihat bakat saya.
“Benar, ibu saya membuka laluan kepada saya untuk masuk bidang seni. Tapi saya tidak mengharapkan laluan itu semata-mata, saya belajar.
“Ibu saya pun tidak sewenang-wenangnya membuka laluan itu untuk saya. Dia nak saya belajar, lalui apa yang orang lalui,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Disoal tentang cabaran membikin filem Bisikan Nafsu, Azeva memaklumkan dia perlu menitik beratkan soal kos pembikinan filem itu yang memakan lebih RM1 juta.
“Cabaran adalah dari segi menentukan kos, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan khidmat pelakon lagak ngeri yang berkualiti. Saya akui masih lemah bahagian itu.
“Filem mengandungi banyak babak yang menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri. Untuk keseluruhan filem sahaja memakan lebih RM1 juta.
“Dalam masa yang sama, penggambarannya juga berlaku di beberapa lokasi.
“Sebenarnya saya perlu mahir hal ehwal kewangan. Apa pun saya bernasib baik kerana dapat bimbingan dan sokongan ibu saya,” katanya lagi.- UTUSAN
The post Tak guna laluan mudah, Azeva buktikan kemampuan appeared first on Utusan Malaysia.

