
SUNGAI PETANI - Hasrat seorang lelaki untuk membunuh diri 'terbatal' apabila dia berpaut pada sebatang tiang jambatan setelah terjun ke sungai.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, lelaki berusia 42 tahun tersebut berjaya diselamatkan bomba.
Katanya, kejadian itu berlaku di Kilometer 114, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Tikam Batu, di sini.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak terlebih dulu bergaduh dengan isteri menyebabkanya keluar dari rumah menaiki motosikal.
"Bimbang terjadi sesuatu yang buruk, rakan lelaki itu yang menyedari kejadian tersebut, mengekori dari belakang menggunakan kenderaan lain," katanya.
Tambahnya, setibanya di lokasi kejadian, lelaki berkenaan terus terjun dari jambatan tanpa sempat dihalang oleh rakannya.
"Pihak bomba kemudiannya dipanggil menyelamatkan lelaki terbabit dan dia kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
"Keadaannya stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan di kaki serta tangan," katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya terlebih dulu melakukan pencarian sebelum berjaya menemukan lelaki itu yang berpaut di tiang jambatan berkenaan.
"Dia kemudiannya berjaya dibawa naik menggunakan tali dan peralatan khas lain.
"Lelaki terlibat kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tujuan rawatan," katanya.- Getaran, 16 Mei 2024.

