
TANPA perlu menjerit mahupun bergantung terhadap adegan aksi berlebihan, lakonan bersahaja pelakon Haidar Hasanudin menerusi drama Cinta Dalam Sekam ‘mengunci’ perhatian penonton sehingga namanya disebut-sebut sebagai antara aktor pelapis berjiwa besar.
Disifatkan netizen sebagai aktor generasi baharu yang punya masa depan cerah, watak Shafiq yang digalas dalam drama bersiri terbabit bukan sahaja membuktikan kemampuan, malah meletakkan Haidar sebaris dengan nama popular, Amir Ahnaf dan Siti Khadijah Halim.
Haidar, 37, berkata, perkara paling menyentuh perasaan adalah apabila sebahagian besar pujian datang daripada penonton yang sebelum ini tidak pernah mengenali mahupun mengikuti perjalanan seninya.
“Saya sangat bersyukur, tak sangka Cinta Dalam Sekam diterima baik. Banyak komen datang daripada orang yang sebelum ini tak pernah kenal saya.
“Jadi, mereka menilai berdasarkan apa yang mereka lihat menerusi watak Shafiq. Bila orang yang tak pernah ikuti kerja kita tiba-tiba berikan pujian, perkara itu suntik satu perasaan berbeza,” katanya.
Tidak hairan apabila ada yang berpendapat persembahannya sebagai Shafiq layak diberikan pengiktirafan menerusi anugerah selain menyenaraikannya antara pelapis aktor berkaliber seperti Beto Kusyairy serta Bront Palarae.
Begitupun, dia enggan hanyut dengan sanjungan yang diterima, sebaliknya menjadikan setiap pujian sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki mutu lakonan.
Pujian netizen
Katanya, pujian boleh menjadi perangkap andai seseorang pelakon mula berasa selesa dan menganggap dirinya sudah berada pada tahap terbaik.
“Saya hargai setiap komen dan mesej yang diberikan, tetapi saya tak mahu terlalu hanyut. Saya anggap semuanya sebagai penghargaan dan semangat untuk cuba buat lebih baik dalam karya akan datang.
“Untuk berdiri sebaris dengan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Bront Palarae dan ramai lagi, itu sangat jauh perjalanannya. Tapi saya yakin, jika berusaha gigih, saya pasti sampai ke tahap itu,” katanya.
Haidar juga berharap sambutan terhadap Cinta Dalam Sekam dapat menjadi batu loncatan untuknya memperoleh lebih banyak peluang selepas sekitar empat tahun membina kerjaya dalam bidang lakonan.
Dia sendiri pernah tertanya-tanya bagaimana namanya dipilih untuk memegang peranan penting dalam drama tersebut sedangkan industri kini dibanjiri ramai pelakon lelaki muda berbakat dan lebih dikenali.
“Saya sendiri pernah tertanya, dalam ramai pelakon muda yang bagus dan mempunyai nama besar, macam mana mereka boleh terfikir untuk pilih saya?
“Jadi apabila cerita ini mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat positif, saya cuma berharap boleh membuka mata penerbit atau stesen terhadap kemampuan saya,” katanya.
Cinta Dalam Sekam terbitan Global Station yang disiarkan menerusi Viu diarahkan Feroz Kader dan turut menampilkan Riz Amin, Husna Mustaffa, Yuna Rahim serta Datuk Razak Ahmad.
The post ‘Tak kenal kita tetapi puji, itu suntik perasaan berbeza’ appeared first on Kosmo Digital.

