Tak lagi wajib! LINDUNG 24 Jam sukarela bagi pekerja tempatan, kekal mandatori buat pekerja asing

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 10:06 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan memutuskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat Jemaah Menteri selepas meneliti pelbagai pandangan dan maklum balas rakyat terhadap pelaksanaan skim berkenaan yang sebelum ini menetapkan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, keputusan itu memberi ruang kepada pekerja tempatan membuat pilihan sama ada ingin mencarum di bawah skim berkenaan mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.

“Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh pihak PERKESO dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Image from: Tak lagi wajib! LINDUNG 24 Jam sukarela bagi pekerja tempatan, kekal mandatori buat pekerja asing

Caruman Skim LINDUNG 24 Jam bagaimanapun kekal mandatori bagi pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, jelasnya.

Menurutnya, walaupun pelaksanaan skim itu kini bersifat sukarela kepada pekerja tempatan, LINDUNG 24 Jam masih merupakan inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial sekiranya pekerja mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.

Image from: Tak lagi wajib! LINDUNG 24 Jam sukarela bagi pekerja tempatan, kekal mandatori buat pekerja asing

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim berkenaan menjelang penghujung tahun, termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampanan dana.

“Sekiranya diperlukan, hasil penelitian tersebut akan dibentangkan ke Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4],” tambah beliau.

Image from: Tak lagi wajib! LINDUNG 24 Jam sukarela bagi pekerja tempatan, kekal mandatori buat pekerja asing

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi skim LINDUNG 24 Jam.

Artikel lain: Terjatuh di rumah hingga patah tulang siku, LINDUNG 24 Jam jadi penyelamat rawatan!

Sebelum ini, skim yang mula berkuat kuasa pada Jun lalu itu menerima pelbagai reaksi apabila ramai pencarum menganggap caruman berkenaan membebankan kerana ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, manakala majikan hanya membuat potongan dan bayaran kepada PERKESO bagi pihak pekerja.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang menyambut baik pelaksanaan LINDUNG 24 Jam kerana ia memberi perlindungan kepada pekerja sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, berbeza dengan perlindungan PERKESO sebelum ini yang lebih tertumpu kepada kemalangan ketika bekerja atau dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved