“Tak Layak Dipakai” – Gambar Jalur Gemilang Pada Baju Ada Design Seolah Dipijak Bikin Ramai Geram

28 Aug 2025 • 5:41 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu


Orang ramai pasti berkobar-kobar semangat untuk menyambut kemerdekaan negara yang ke-68 pada hujung minggu ini.

Sebahagian besar rakyat Malaysia sudah pun mula mengibarkan lambang negara Jalur Gemilang di rumah kediaman serta kenderaan masing-masing sejak tibanya kita di bulan Ogos.

Malah dari segi pakaian pula, ada yang telah menyediakan kostum tradisional untuk digayakan pada hari kemerdekaan kelak. Ada juga yang memilih untuk memakai t-shirt dihiasi dengan gambar bendera Malaysia.

Namun dalam segala persiapan yang dilakukan, orang ramai diingatkan agar memastikan tiada sebarang kesalahan pada gambar bendera yang ingin dipaparkan pada pakaian dan sebagainya.

Baju Dibeli Ada Gambar Bekas Tapak Kasut Atas Jalur Gemilang

Baru-baru ini, tular di TikTok (@aretins96) apabila satu baju dengan gambar Jalur Gemilang mempunyai banyak ‘kecacatan’ yang tidak pasti sama ada disengajakan mahupun tidak.

Kata wanita itu, adiknya telah membuat pembelian bagi baju tersebut menerusi platform TikTok.

Namun amat mengejutkan sebaik menerima pakaian itu, kelihatan gambar seolah-olah seperti bekas tapak kasut di atas bendera Malaysia.

“Memang design baju ni macam kena pijak dengan tapak kasut ke ye? Dekat bendera Malaysia pula tu,” katanya.

Jumlah Jalur & Bucu Bintang Pada Bendera Tidak Mencukupi

Melihat lebih lanjut kepada gambar yang dikongsi, itu bukan satu-satunya masalah yang timbul.

Rupa-rupanya banyak kesalahan yang boleh dilihat pada baju tersebut, lebih-lebih lagi melibatkan gambar Jalur Gemilang.

Salah satunya adalah jumlah jalur tidak mencukupi iaitu hanya 11 jalur yang kelihatan. Jalur pertama berwarna merah pada bahagian atas sekali juga hanya kelihatan sebahagian kecilnya.

Selain itu, jumlah bucu pada bintang pula kekurangan satu iaitu hanya 13 berbanding 14 yang sepatutnya.

Malah terdapat elemen lain yang menutupi Jalur Gemilang itu sendiri termasuk gambar tapak kasut, garisan dan bayang berwarna hitam, yang sebenarnya merupakan satu kesalahan dalam design membabitkan bendera negara.

Kesalahan Maklumat & Ejaan Pada Tulisan Di Baju

Di samping gambar design, terdapat juga tulisan yang tertera pada t-shirt tersebut yang jelas mempunyai beberapa kesalahan.

“SEJAK 1963. MALAYSIAKU. JIWA MERDERA,” tertulis pada bahagian dada baju.

Seperti rakyat Malaysia sedia maklum, jika merujuk kepada kemerdekaan negara, ia telah dicapai pada tahun 1957. Sebaliknya tahun 1963 merupakan tahun pembentukan Malaysia.

Malah terdapat juga kesalahan pada ejaan ‘MERDERA’ yang sepatutnya berbunyi ‘JIWA MERDEKA’.

Ramai Kenal Pasti Kecacatan Pada Baju, Gesa Buat Laporan Pada Pihak Berkuasa

Menjenguk ke ruangan komen, orang ramai juga perasan banyak kesalahan yang terdapat pada t-shirt tersebut.

“Walau apapun alasan dan niat sebenar, sengaja ke tak sengaja ke, first impression memang nampak bendera Malaysia kena pijak,” kata seorang individu.

Seorang individu juga mempersoalkan design pada ayat ‘Malaysiaku’ yang kelihatan seperti retakan.

Warganet turut meminta wanita itu agar melakukan laporan kepada pihak polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta platform TikTok sendiri.

Ramai yang berpendapat bahawa baju yang dipesan menerusi TikTok itu sebenarnya ditempah di China, menyebabkan kesalahan sedemikian timbul.

Dalam pada itu, segelintir pengguna media sosial turut menjelaskan bahawa design Jalur Gemilang yang tidak sempurna pada baju adalah dilarang sama sekali.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available
Sumber: TikTok

Jangan Gunakan Visual Jalur Gemilang Dalam Design Logo

Berdasarkan garis panduan, penggunaan bendera pelbagai gaya, gambar serta bentuk yang diubah fizikalnya sebagai iklan bagi mempromosikan Sambutan Bulan Kebangsaan adalah tidak dibenarkan.

Malah, orang ramai dihalang daripada menghasilkan logo menggunakan visual Jalur Gemilang. Seperti kostum, hanya penggunaan warna asas dan motif bendera (merah, putih, biru dan kuning) yang dibenarkan.

Bagi penggunaan visual bendera dalam infografik, pastikan Jalur Gemilang tidak bertindih dengan teks dan sesama bendera.

Memandangkan bendera Malaysia merupakan salah satu lambang kebesaran negara, ia dilindungi di bawah undang-undang menerusi beberapa akta termasuk:

  • Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414)
  • Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 (Akta A1525)
  • Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193)
  • Akta Hasutan 1948 (Akta 15)