
Tak Mahu Bebankan Ibu, Gadis Sanggup Angkut Batu Bata Demi Yuran Universiti
Tidak semua orang dilahirkan dalam dulang emas. Ramai yang perlu berusaha sendiri untuk mengejar kejayaan dan membina kehidupan yang lebih baik pada masa depan.
Malah, ada juga remaja yang sanggup mencari rezeki sendiri demi menampung perbelanjaan dan pengajian mereka.
Begitulah kisah seorang graduan sekolah menengah di China yang memilih untuk bekerja bersama ibunya di sebuah tapak pembinaan.
Ketika kebanyakan rakan sebayanya menikmati cuti dengan melancong selepas menduduki peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan, Yuanyuan pula cekal memikul batu bata di belakangnya demi mengumpul wang untuk membayar yuran pengajian universitinya.
Menurut South China Morning Post, ibu gadis itu, Wei Yungui, merupakan seorang buruh yang telah bekerja di sebuah tapak pembinaan di wilayah Guangdong, selatan China sejak 16 tahun lalu.
Wanita berusia 40 tahun itu juga merupakan seorang ibu tunggal dan satu-satunya pencari rezeki buat dua orang anaknya.
Sementara itu, Yuanyuan telah menduduki peperiksaan kemasukan universiti yang dikenali sebagai gaokao pada Jun lalu.
Sejak penghujung Jun, sebaik sahaja peperiksaan itu tamat, dia mengambil keputusan untuk bekerja bersama ibunya di tapak pembinaan tersebut.
Menerusi satu video yang tular, ibu dan anak itu dilihat berulang-alik mengangkat batu bata ke tingkat yang lebih tinggi.
Dengan peluh yang mencurah, Yuanyuan mampu membawa 10 ketul batu bata bagi setiap perjalanan, manakala ibunya pula memikul beban empat kali ganda lebih berat.
"Awak dapat empat yuan dan saya dapat 16 yuan. Campur semua kita dapat 20 yuan. Semakin hampir dengan matlamat untuk membayar yuran pengajian universiti awak," kata Wei kepada anaknya.
Akui penat
Namun, gadis itu mengakui pekerjaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.
"Saya sedang melakukan apa yang saya mampu. Saya berharap dapat meringankan beban ibu saya," kata Yuanyuan.

Pada mulanya, Wei tidak sanggup membiarkan anak perempuannya melakukan kerja berat itu kerana bimbang dengan keadaan fizikalnya.
Namun akhirnya, dia mengalah apabila melihat kesungguhan Yuanyuan untuk sama-sama membantu.
"Dahulu, anak perempuan saya hanya melihat saya bekerja keras tanpa henti, tetapi dia tidak benar-benar memahami apa yang saya lalui.
"Selepas bekerja di sini, dia menjadi lebih peka dan lebih memahami kesusahan yang saya hadapi," katanya.
Dalam pada itu, markah yang diperoleh Yuanyuan dalam peperiksaan gaokao serta butiran mengenai universiti yang bakal disertainya masih belum didedahkan kerana Wei memilih untuk merahsiakan perkara tersebut.
Bagaimanapun, dia memaklumkan bahawa markah anak perempuannya cukup baik untuk melayakkannya melanjutkan pengajian di sebuah universiti peringkat sederhana.

Yuanyuan pula telah menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi.
Setakat ini, masih belum diketahui jumlah sebenar wang yang perlu mereka kumpulkan bagi membiayai pengajian Yuanyuan di universiti.
Untuk pengetahuan, kos pengajian di universiti di China berbeza mengikut institusi dan program pengajian, namun universiti awam lazimnya mengenakan yuran sekitar 5,000 yuan setahun.
