
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 10 Ogos lalu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat kejutan dengan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen (MP).
Tidak sampai dua bulan dari pengumuman tersebut, hari ini (2 Oktober), rakan seangkatan di PKR, Lee Chean Chung turut mengambil langkah serupa.
Baca Artikel Berkaitan: SPR Sahkan Tiada PRK Bagi Parlimen Subang Susulan Peletakan Jawatan Wong Chen Sebagai MP
Keahlian Dalam PKR Digantung, Lee Chean Chung Umum Letak Jawatan Sebagai Wakil Rakyat
Lee Chean Chun yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat berkenaan tanpa syarat berkuat kuasa hari ini (2 Oktober).
Jelas Lee, surat peletakan jawatannya itu telahpun diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada jam 3 petang semalam (1 Oktober).
Difahamkan, keputusan itu dibuat oleh Lee selepas dia menerima surat daripada PKR yang memaklumkan keahliannya dalam parti tersebut digantung selama tiga tahun.
Lee Dakwa Akses Sistem MyKhas Turut Disekat & Baki Peruntukan RM3 Juta Tak Lagi Disalurkan
Dakwa Lee yang memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, aksesnya dalam sistem MyKhas bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan juga telah disekat.
Malah, baki RM3 juta bagi kawasan parlimennya juga tidak lagi disalurkan menerusi pejabatnya.
“Kini keadaan menjadi lebih serius. Saya tidak lagi boleh berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti, sedangkan pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang tidak telus.
“Saya akan menghantar surat peletakan jawatan saya daripada PKR pada Isnin ini,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Lee Dakwa Hanya Tahu Penggantungan Keahlian PKR Menerusi Media
Dakwa Lee lagi, dia hanya mengetahui keahliannya sebagai ahli PKR digantung menerusi laporan media sebelum memperolehi surat rasmi.
Malah, dia juga mendakwa tidak diberikan peluang untuk memberi keterangan atau sebarang penjelasan.
Jelas Lee, dia percaya beberapa isu yang dibangkitkan termasuk di Dewan Rakyat menjadi faktor yang membawa kepada tindakan disiplin parti berkenaan terhadapnya.
Antara isu yang dibangkitkan adalah:
- Pembaharuan Semula Bandar (PSB)
- Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS)
- Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)
- Akses kemasukan pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Bagaimanapun, masalah rakyat tidak akan berhenti hanya kerana saya diarahkan untuk diam.
“Adakah saya patut terus menerima gaji sebagai Ahli Parlimen tetapi hanya duduk senyap seperti tunggul? Tidak.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Lee Dakwa Makin Sukar Fahami Hala Tuju Kerajaan
Malah, Lee mendakwa dia semakin sukar untuk memahami hala tuju kerajaan mengenai beberapa isu.
Ia termasuklah dakwaan berhubung mafia korporat serta keputusan tanpa membebaskan (DNAA) bagi kes yang melibatkan beberapa pemimpin politik.
“Dahulu, Pakatan Harapan (PH) mengkritik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal membawa negara ke arah yang betul.
“Hari ini, apabila berdepan pelbagai kontroversi, kita pula semakin kerap diminta meyakinkan diri bahawa sekurang-kurangnya kerajaan sekarang lebih baik daripada dahulu,” dakwanya.
Pada masa sama, Lee enggan mendedahkan lagi jawapan ketika disoal sama ada akan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Sebenarnya saya memang sudah buat keputusan tetapi hari ini, saya ingin tumpu kepada keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Tak Pernah Menyesal, PKR Parti Politik Pertama Yang Disertai Lee
Jelas Lee lagi, PKR merupakan parti politik yang pertama disertainya selepas meninggalkan dunia korporat dan mahu memperjuangkan isu rakyat pada tahun 2008.
“Saya tidak pernah menyesal. Saya berterima kasih kepada PKR atas peluang sepanjang 18 tahun ini dan kepada rakan seperjuangan yang masih percaya kepada politik bersih, reformasi institusi dan sebuah Malaysia yang meraikan kepelbagaian,” jelasnya.
Pada 12 Jun lalu, Lee telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkuat-kuasa serta merta.
Walau bagaimanapun, dia menjelaskan akan kekal sebagai ahli PKR dan terus menjalankan tugas sebagai MP Petaling Jaya sehingga Parlimen dibubarkan.
Media Sebelum Ini Lapor PKR Dijangka Gantung Keahlian Lee
Pada 30 September lalu, media melaporkan PKR dijangka akan menggantung keahlian Lee selama tiga tahun ekoran tindakan disiplin parti.
Lee sebelum itu didakwa pernah menerima surat tunjuk sebab selepas menghadiri program berkaitan BERSAMA.
Isu mengenai peruntukan Petaling Jaya pula tercetus selepas akses Lee di portal MyKhas disekat sejak penghujung Mei lalu.
Pun begitu, kerajaan sebelum ini menegaskan akses tersebut tidak menjejaskan hak atau peranan Lee sebagai MP.
Ini kerana peruntukan khas tersebut akan terus diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bagi manfaat penduduk.
Peletakan jawatan Lee menjadikan dia sebagai Ahli Parlimen Keempat yang meletak jawatan bagi tahun 2026 selepas langkah sama diambil oleh Rafizi bagi kerusi Pandan, Nik Nazmi Nik Ahmad bagi Setiawangsa dan Wong bagi Parlimen Subang.
Rafizi dan Nik Nazmi telah meletak jawatan pada bulan Mei lalu sebelum mengambil alih pimpinan BERSAMA manakala, Wong pula meletak jawatan pada Ogos sebelum menyertai parti terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: Peletakan Jawatan Menteri Pengangkutan Berkuat Kuasa Sebaik Najib Jalani Hukuman Tahanan Rumah – Anthony Loke
Baca Artikel Berkaitan: Didesak Berundur, Nga Kor Ming Tegas Hanya Letak Jawatan Menteri Jika Najib Dibebaskan Tanpa Hukuman Setimpal [Video]





