JPJ gantung perkhidmatan MYEG mulai 5 Oktober

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 5:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JPJ gantung perkhidmatan MYEG mulai 5 Oktober

PETALING JAYA: Perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digantung berkuat kuasa pukul 12.01 pagi, 5 Oktober ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

“Selaras dengan keputusan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober 2026.

“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ, pejabat pos dan Puspakom, tertakluk kepada kategori kenderaan yang dibenarkan bagi setiap saluran.

Selain itu, beliau berkata, pembaharuan lesen memandu pula boleh dibuat melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ serta pejabat pos.

“Bagi permohonan Lesen Belajar Memandu (LDL), orang ramai boleh menggunakan kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ dan kaunter bergerak JPJ,” katanya.

Beliau berkata, saluran sama turut disediakan bagi urusan semakan serta pembayaran saman.

“Untuk pertukaran hak milik, urusan boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, manakala kios JPJ disediakan bagi motosikal persendirian milik individu warganegara.

“Portal Awam JPJ pula boleh digunakan bagi kenderaan persendirian milik individu warganegara dan syarikat, selain saluran syarikat eAuto melalui Sistem Tukar Hak Milik Sementara serta eSerahan Tukar Hak Milik,” katanya.

Beliau berkata, tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang dibuat melalui MYEG sebelum 5 Oktober ini masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.

Katanya, kemudahan pembayaran saman bagi bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ.

Menurutnya, unit berkenaan ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, dengan waktu perkhidmatan dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

“JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap urus niaga dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

“JPJ kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

The post JPJ gantung perkhidmatan MYEG mulai 5 Oktober appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved