“Tak Nak Kaya Hanya Mahu Hidup Di Hutan, Bandar Bukan Tempat Saya” – Orang Asli Kampung Sungai Cot [Video]

LocalEnvironment
21 Jul 2026 • 10:17 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Tak Nak Kaya Hanya Mahu Hidup Di Hutan, Bandar Bukan Tempat Saya” – Orang Asli Kampung Sungai Cot [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Wanita Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang yang tular selepas berjalan lebih 200 kilometer (KM), Juliana menzahirkan penghargaan kepada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana telah mempelawa masyarakat Orang Asli yang memerlukan penempatan untuk berpindah serta tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

Orang Asli Mahu Pertahankan ‘Tanah Adat’ & Kekal Menetap Di Kampung Sungai Cot

Bagaimanapun, Juliana menegaskan dia tidak mahu berbuat demikian dan mahu mempertahankan ‘tanah adatnya’ di Kampung Sungai Cot kerana ia merupakan sumber bagi generasinya akan datang.

“Sebab ia (Kampung Sungai Cot) berdekatan dengan hutan. Kami memerlukan sumber hutan. Sungai datangnya dari mana kalau bukan dari celah-celah batu dalam hutan. Saya berterima kasih sangat tapi memang nak pertahankan tanah saya di Kampung Sungai Cot.

“Terima kasih jugalah sebab mengiktiraf Orang Asli ni sebabnya orang cakap, ‘Ni tanah Melayu, Orang Asli tak ada tanah’,” katanya dengan nada sebak.

Baca Artikel Berkaitan: Tunku Azizah Pelawa Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot Untuk Pindah & Tinggal Di Tanah Milik Baginda

“Tak Nak Senang & Kaya, Saya Nak Hutan” – Juliana

Mengulas lanjut, Juliana berkata dia bersama beberapa penduduk lain akan berjumpa dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentangkan isu tersebut.

Dalam masa sama, Juliana juga berharap dapat berjumpa Tunku Azizah selepas pertemuan dengan PM untuk memberikan sedikit cenderahati yang dihasilkannya sendiri menggunakan sumber hutan.

Tambahnya, dia tidak boleh hidup di bandar dan selesa tinggal di dalam hutan.

“Saya nak tanah adat saya. Dekat Kampung Sungai Cot, dengan Orang Asli yang ada dekat Malaysia ni. Saya nak tu je.

“Saya tak nak senang (kemewahan), dan kaya. Saya nak hutan, saya tak boleh duduk di bandar. Saya pergi Kuala Lumpur baru-baru ni pun, saya tak boleh. Tu bukan tempat saya. Tempat saya dekat hutan.”

@zaslin90

Terima kasih saya ucapkan kepada Tengku Puan. Saya terharu sangat mahu bantu. Cuma saya perlu pertahankan tanah adat kampung cot sebab itu Sudah cukup bagi Kami. Kami tak perlu lain, tanah adat Kami cukup. Hari ini saya jumpa mb pahang dan lusa saya pergi jumpa Dato seri Anwar untuk bawa suara dan doa semua orang asli satu malaysia. Saya Harap bila saya balik, dapat jumpa tengku puan bagi cenderamata.

♬ original sound – Juliana – Juliana

Tonton video penuh [DI SINI].

Dakwaan Pertikaian Tanah Orang Asli Kampung Cot Tidak Seperti Digambarkan – Kerajaan Negeri Pahang

Mengambil maklum aduan Orang Asli di media sosial, Kerajaan Pahang menjelaskan bahawa dakwaan berhubung pertikaian tanah membabitkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Maran, tidak menggambarkan fakta sebenar kes terbabit.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memelihara kebajikan, hak serta kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).

Kampung Cot Tak Berdaftar, Hanya Ada 6 Penama Teruskan Tuntutan Bawah JAKOA

Jelasnya, Kampung Cot tidak berdaftar di bawah JAKOA.

“Bagi menangani isu yang timbul, JAKOA telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang telah menerima kelulusan itu.

“Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA,” katanya dalam kenyataan semalam (20 Julai).

Orang Asli Di Kampung Cot Usahakan Tanaman Getah & Kelapa Sawit Tanpa Kebenaran Sah – Syed Ibrahim

Jelas Syed Ibrahim, dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa bahawa kawasan terbabit merupakan tanah adat mereka.

Walau bagaimanapun kata beliau, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa berdasarkan rekod dan fakta yang ada.

Rekod juga menunjukkan Orang Asli di Kampung Sungai Cot telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Sebelum ini, Juliana mendapat perhatian netizen apabila tular video dirinya dipercayai melakukan protes dengan berjalan kaki sejauh 200KM dari Maran ke Putrajaya bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun untuk bertemu Anwar Ibrahim susulan kebimbangan berhubung kehilangan tanah adat Orang Asli.

Anwar kemudiannya berkata, beliau akan membawa isu ini kepada Kerajaan Pahang memandangkan ia merupakan urusan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri terbabit.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved