“Tak Payah Cerita Buruk Polis, Pulihkan Secara Dalaman” – KPN

13 Oct 2023 • 10:57 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta untuk pulihkan imej Polis Diraja Malaysia secara dalaman tanpa mendedahkan kepada umum.

Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau berkata sedemikian susulan tindakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang menegur kehidupan mewah segelintir anggota polis dipercayai hasil bersekongkol dengan sindiket.

image is not available

“Tak payah cerita keburukan anak kita (pasukan polis) ada kudis (keburukan), lebih baik pulihkannya secara dalaman.

“Sebelum ini saya sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Pengarah Jabatan untuk melihat isu pegawai hidup mewah namun bagi saya lebih bagus perkara sebegini kita ambil tindakan dalaman berbanding cerita keburukan itu kepada umum.

“Kalau cerita anak kita (polis) ada kudis, orang akan dakwa ia kusta sekali gus mereka (pihak luar) tidak mahu berkawan dengan kita.

“Lebih bagus kita cerita apabila kita sudah pulihkan kudis (keburukan) anak itu dan berkemungkinan orang luar akan terkejut serta mahu mempelajari cara bagaimana kita ubati kudis tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Razarudin tidak menafikan bahawa wujud segelintir pegawai dan anggota yang bersubahat dengan sindiket untuk mendapatkan kehidupan mewah.

image is not available

“Kalau tanya saya, ada pegawai dan anggota terlibat dengan sindiket? Saya kena cakap ada ini kerana ketika saya memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik beberapa pegawai serta anggota dikenakan tindakan di bawah Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 susulan bersekongkol dengan sindiket.

“Jika kita lihat, sejak Januari hingga Ogos lalu seramai 90 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diikuti sebanyak 881 siasatan tata tertib dibuka polis.

“Namun sekiranya dibandingkan dengan jumlah keanggotaan 130,000 polis seluruh negara hanya 0.06 peratus saja terpalit dalam kesalahan dan jumlah ini sangat kecil namun kita akan baiki kelemahan ini,” ujarnya lagi.

image is not available

Pun begitu, beliau yakin serta percaya pimpinan tertinggi PDRM termasuklah ketua polis negeri tidak terlibat dalam masalah integriti yang boleh menyumbang kepada salah guna kuasa dan rasuah.

Sumber: Malaysia Gazette (Malinda Abdul Malik)