Tak perlu debat, fokus dekati pengundi Johor – Mohamad

LocalPolitics
7 Jul 2026 • 11:29 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan dialog atau debat antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Dr. Maszlee Malik ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya berbaki empat hari.

Menurut beliau, keutamaan ketika ini bukanlah berbahas di pentas debat, sebaliknya setiap calon perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mendekati pengundi dan menjelaskan tawaran mereka.

“Tak payah debat-debatlah, buat apa nak buang-buang masa berdebat-debat, kan?

“Buat kerja sajalah dan bagilah orang Johor buat keputusan. Dalam pada kita debat-debat, entah apa perkara yang kita cakap tak elok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai, Johor, malam tadi.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, gesaan Pakatan Harapan (PH) supaya dialog antara kedua-dua pemimpin itu diadakan disifatkan sebagai tidak memberi manfaat kepada kempen ketika ini.

Sebaliknya, beliau berpandangan masa yang berbaki sebelum hari pengundian perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua calon untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan mendapatkan sokongan secara langsung.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata gerak kerja jentera BN di Johor berada pada landasan yang baik dengan susunan kempen yang teratur, dibantu kekuatan jentera akar umbi UMNO.

“Saya lihat gerak kerja disusun dengan teratur dan dilakukan dengan baik. Dan kita mempunyai beberapa hari saja lagi untuk kita menyantuni seramai mungkin pengundi untuk meyakinkan mereka untuk memberikan sokongan kepada BN, insya-Allah,” katanya.

Beliau yakin momentum kempen BN akan terus diperkukuh menjelang hari pengundian dengan memberi fokus kepada pendekatan turun padang dan mendengar sendiri suara rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved