Dialog PRN: Maszlee patut dialog dengan calon di Puteri Wangsa - Onn Hafiz

LocalPolitics
6 Jul 2026 • 8:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dialog PRN: Maszlee patut dialog dengan calon di Puteri Wangsa - Onn Hafiz
Onn Hafiz ketika ditemui pada Program Kasi On bersama MB Johor di Homestay Tok Marwan, Semerah.

BATU PAHAT – [KEMAS KINI] Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada keperluan untuk beliau menyertai Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bersama calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik kerana kedua-duanya tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama.

Menurut beliau, Maszlee bertanding di DUN Puteri Wangsa, manakala beliau mempertahankan kerusi DUN Machap.

“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia yang lari daripada Simpang Renggam.

“Jadi kalau dia nak berdebat ataupun berdialog, dia carilah orang di sana. Apa kena-mengena dengan kawasan saya di Machap ataupun Simpang Renggam?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kasi On bersama MB Johor di Homestay Tok Marwan, Semerah di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Onn Hafiz mengesahkan tidak akan menghadiri Dialog PRN Johor yang dianjurkan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani dan Sinar Harian kerana mempunyai komitmen yang telah ditetapkan lebih awal.

Bagaimanapun, pihak penganjur memaklumkan dialog berkenaan tetap diteruskan seperti dijadualkan pada Selasa bagi menyediakan platform kepada rakyat mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu semasa menjelang PRN Johor.

Dalam perkembangan sama, Onn Hafiz turut menyindir bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dengan mendakwa pengundi di kawasan berkenaan masih menuntut janji yang pernah dibuat Maszlee.

“Orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia janji nak beri tol percuma, sampai sekarang tak ditunaikan,” katanya.

Untuk rekod, Maszlee berdepan saingan lima penjuru bagi merebut kerusi DUN Puteri Wangsa pada PRN Johor ke-16.

Sementara itu, DUN Machap menyaksikan saingan satu lawan satu antara penyandang, Onn Hafiz dengan calon PH, Nor Hafiz Roslan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved