Tak perlu guna kata-kata kasar, PM Anwar mahu ahli parlimen berbahas secara beradab

LocalPolitics
26 Jul 2025 • 2:51 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ahli Parlimen agar mengamalkan budaya berbahas secara beradab dan sopan tanpa perlu menghina atau memaki hamun ketika berhujah di Dewan Rakyat.

image is not available

Seru MP berbahas secara beradab

Memetik laporan daripada Bernama, seruan itu dibuat selepas beliau menyaksikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50, yang memperlihatkan pelajar sekolah berbahas dengan fasih, berani, penuh ilmu dan berhemah.

“Saya bangga sekali akan tahap perbahasan dan saya renung sekejap, apa salahnya (jika) ahli Parlimen belajar, iaitu pertama kalau nak berbahas (kita) kena kuasai ilmu, hadam, olah dan sampaikan.
Anak-anak ini tunjuk tahap perbahasan hebat dan saya tabik (bangga). Perdebatan ini bukan sekadar kepintaran berbicara, tetapi juga keupayaan untuk menguasai, menelaah, menghadam dan melontarkan (isu). Sebab itu saya rasa perkara itu yang perlu dipelajari (dicontohi) oleh ahli Parlimen,” katanya.

image is not available

Berbahas secara beradab, didik sejak di bangku sekolah

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan nilai adab dan akhlak perlu diterapkan dalam sistem pendidikan, selari dengan gagasan negara Madani yang bukan hanya menumpu kepada teknologi semata-mata.

“Dan apabila kita berbicara soal negara Madani, ia mesti diterapkan dengan asas nilai dan akhlak, sebagaimana diungkapkan oleh Sheikh Taha Jabir Al-Alwani dalam karya beliau (Adab al-Ikhtilaf).”

“Kita latih anak-anak bukan sahaja untuk menguasai ilmu baharu tetapi juga untuk mempertahankan nilai akidah, akhlak dan nilai seni budaya tempatan. Tanpa adunan ini, kita hanya memenuhi acuan negara Barat,” ujarnya.

image is not available

Pertandingan bahas edisi ke-50 itu menyaksikan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dinobatkan sebagai juara kategori Bahasa Melayu, manakala Sekolah Sultan Alam Shah menjuarai kategori Bahasa Inggeris.

Sumber: Bernama