
Tak Perlu Oven, Ini Resipi Popia Rangup Coklat & No Bake Hazelnut Pod Untuk Tetamu
Hari raya sememangnya dinantikan oleh setiap umat Islam kerana ia dianggap hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.
Selain itu juga, hari raya merupakan hari di mana semua ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan untuk berkumpul di samping untuk mengeratkan hubungan silaturahim.
Jadi, setiap kali perayaan ini disambut, sudah tentu dihidangkan dengan sebekas kuih raya kepada tetamu yang hadir.
Setiap rumah pasti ada pelbagai jenis kuih raya yang tersusun rapi di dalam balang. Baik kuih raya klasik atau moden, semuanya pasti mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Oleh itu SK akan kongsikan dua resipi kuih raya ringkas yang tidak memerlukan bahan yang banyak. Mungkin resipi ini boleh membantu anda menyediakkanya di saat-saat akhir Ramadan ini.
Baca juga:
Resipi Batang Buruk, Kuih Wajib Disajikan Pada Hari Raya
Tetamu Pasti Puas Hati, Resipi Roche Cookies Ini 'Wajib' Cuba
Untuk makluman, resipi ini merupakan perkongsian dari pengguna TikTok, @ariannakitchen.
Resipi Popia Coklat Crispy
Bahan-bahan
Kulit popia
Straw
Coklat gelap, strawberi, putih
Badam
Red velvet crumbs
Sos pistachio
Cara penyediaan
Mula-mula, ambil straw dan gulung kulit popia. Letakkan air di hujung kulit popia tersebut untuk pastikan ia melekat.
Selepas itu, anda boleh keluarkan kulit popia tersebut dan potong kepada dua bahagian.
Cairkan juga coklat pilihan anda dan ketepikan. Kemudian, anda panaskan minyak dan goreng kulit popia tersebut sehingga keperangan.
Ingat, pastikan minyak betul-betul panas. Selepas siap digoreng, angkat dan toskan.
Akhir sekali, anda boleh celupkan kulit popia tadi ke dalam coklat pilihan anda.
Hiaskan dengan taburan badam dan red velvet crumbs. Selain dari bahannya yang ringkas, resipi ini juga sesuai untuk dijadikan kudapan di hari raya nanti. Selamat mencuba!
Resipi "No Bake Hazelnut Pod"
Bahan-bahan
Dua cawan nestum
Satu cawan coklat putih
Coklat hazelnut
Kacang hazelnut (dibakar pada sudu 165 darjah selama 30 minit)
Cara penyediaan
Mula-mula, masukkan nestum dan juga coklat putih yang telah dicairkan ke dalam bekas dan kacau sehingga sebati.
Kemudian, bulatkan nestum tadi mengikut saiz yang dikehendaki. Selepas itu, anda boleh tekapkan di bahagian tengah adunan yang telah dibulatkan tadi.
Paipkan juga coklat hazelnut di tengah-tengahnya dan hiaskan juga dengan kacang hazelnut.
Biarkan seketika dan anda boleh susun kuih tersebut di dalam balang dan sedia untuk dihidang pada tetamu di hari raya nanti. Selamat mencuba!

