Resipi Che Sayang dikecam, perkongsian Khairul Aming undang sebak! 'Satu bahan ni walau banyak duit tak boleh dibeli'

4 Mar 2026 • 9:18 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SIAPA sangka satu resipi ringkas boleh mencetuskan perbalahan besar? Belum sempat coklat cair sepenuhnya, ruang komen sudah lebih dahulu ‘mendidih’.

Dunia masakan media sosial kembali panas apabila Che Sayang Kitchen menjadi sasaran kecaman hanya kerana memilih cara memasak yang lebih mudah dan dekat dengan realiti kehidupan ramai.

Segalanya bermula apabila perkongsian resipinya dipersoalkan kerana tidak menggunakan bahan yang dianggap sebagai versi asal oleh segelintir netizen.

Bagi mereka, resipi tradisional seolah-olah mempunyai garis tetap yang tidak boleh diubah. Ada yang menyifatkan pendekatan itu tidak authentic, malah ada komen melabelnya sebagai 'menderhaka' kepada resipi asal.

Namun persoalannya mudah, sejak bila dapur rumah perlu lulus audit keaslian?

image is not available

Hakikatnya, tidak semua orang mempunyai bajet besar atau akses kepada bahan premium. Dengan kos bahan mentah yang semakin meningkat, ramai memilih versi lebih ringkas dan mampu milik.

Pendekatan inilah yang menjadikan kandungan Che Sayang Kitchen dekat dengan kehidupan sebenar, memasak bukan untuk kelihatan sempurna, tetapi untuk dinikmati bersama.

Ketika perdebatan masih hangat, pempengaruh masakan terkenal, Khairul Aming, tampil memberi respons menerusi satu perkongsian video ringkas di platform X.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara langsung, mesej yang disampaikan cukup mendalam dan segera difahami ramai.

Beliau memperkenalkan resipi chocolate mousse segera yang hanya memerlukan empat bahan, namun penjelasan di sebalik resipi itu menjadi perhatian utama.

“Ini resipi chocolate mousse segera yang hanya perlukan empat bahan.

"Tiga bahan boleh beli di kedai. Tapi satu lagi bahan, walaupun kita ada banyak duit pun, kita tak boleh beli.

"Video ini bukan video profesional, bukan untuk jual di restoran, dan bukan untuk orang yang ada akses kepada semua bahan atau peralatan industri.

"Video ini dibuat supaya kita boleh cipta satu momen di rumah masak dengan apa yang kita ada," ujarnya menerusi video masakan.

Ringkas, cepat dan tidak rumit, selari dengan mesej yang ingin disampaikan.

Menurut Khairul Aming, resipi mudah sebenarnya membuka ruang kepada lebih ramai orang untuk mencuba tanpa rasa takut melakukan kesilapan.

“Ada yang buat resipi ini sebagai kenangan dengan anak-anak sebelum mereka besar.

"Ada yang buat dengan keluarga atau kawan-kawan sebab bukan senang nak kumpulkan semua orang dalam satu masa.

" Ada yang mungkin tak cukup bahan, tak cukup ilmu, atau tak ada peralatan lengkap. Tapi tak mengapa. Kita buat sahaja dengan apa yang ada," titipnya penuh makna.

image is not available

Perkongsian itu secara tidak langsung mengingatkan bahawa memasak bukan sekadar menghasilkan hidangan, tetapi mencipta pengalaman dan kenangan kecil yang sering terlepas dalam kesibukan hidup moden.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan di dapur bukan sesuatu yang perlu ditakuti.

“Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Sekurang-kurangnya kita dah cuba. Kalau dari awal kita fikir memasak itu susah dan mesti sempurna, macam mana kita nak tarik orang muda masuk dapur?

"Bahan keempat sebenarnya ialah usaha kita untuk mencuba," jelas usahawan Sambal nyet itu lagi.

Resipi jambatan kebersamaan

Petikan tersebut pantas mendapat perhatian ramai kerana mesejnya dilihat menjawab perdebatan yang sedang berlaku, memasak bukan pertandingan siapa paling asli, tetapi ruang untuk semua orang bermula mengikut kemampuan masing-masing.

Dalam realiti kehidupan hari ini, tidak semua orang mempunyai dapur lengkap atau masa yang panjang untuk memasak.

Ada yang masih belajar, ada yang bekerja hingga lewat malam, dan ada yang sekadar mencari alasan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Di sinilah resipi mudah memainkan peranan lebih besar daripada sekadar makanan. Ia menjadi jambatan kebersamaan.

Jika memasak sentiasa dilihat sebagai sesuatu yang rumit dan perlu sempurna, sukar untuk menarik minat generasi muda mendekati dapur.

image is not available

Sebaliknya, pendekatan santai dan fleksibel membuka ruang untuk mereka belajar berdikari, berani mencuba dan menerima kesilapan sebagai sebahagian daripada proses.

Walaupun Khairul Aming tidak menyebut nama Che Sayang Kitchen secara langsung, ramai memahami mesej tersirat itu, nilai kasih sayang, empati dan kebersamaan jauh lebih penting daripada label authentic yang sering diperdebatkan.

Akhirnya, mungkin kita terlupa satu perkara paling asas tentang makanan. Ia bukan sekadar resipi atau teknik.

Ia tentang siapa yang berada di sisi kita ketika hidangan itu disediakan dan kenangan yang tercipta sepanjang prosesnya.