
Tak Perlu Pening Kepala, Ini 5 Cara Mudah Bersihkan Rumah Sebelum Raya
Menjelang Hari Raya, membersihkan dan mengemas rumah sudah tentu menjadi keutamaan bagi mereka yang menyambutnya.
Kebiasaannya, kerja mengemas dilakukan secara besar-besaran supaya rumah kelihatan lebih bersih, selesa dan teratur.
Ini kerana pada hari raya nanti, pasti akan ada ramai ahli keluarga, saudara-mara dan rakan yang datang berkunjung.
Hari ini, SK ingin kongsikan lima cara bersihkan rumah daripada portal Reader's Digest.
1. Bersihkan kipas siling guna sarung bantal lama
Menurut portal Reader's Digest, memang boleh menggunakan penyapu habuk jenis teleskopik, terutamanya jika siling rumah sangat tinggi.
Namun, jika kipas siling masih boleh dicapai dari katil atau dengan bantuan tangga kecil, cuba gunakan sarung bantal lama.

Caranya, sarungkan sahaja sarung bantal pada bilah kipas, kemudian tekan sedikit sambil menariknya keluar.
Difahamkan, habuk akan terkumpul di dalam sarung bantal tersebut. Jadi, habuk tidak akan berterbangan atau jatuh ke atas perabot.
Selepas itu, lap pula kipas menggunakan pencuci yang lembut untuk hasil yang lebih bersih.
2. Bersihkan permukaan kaca menggunakan cuka & kain mikrofiber
Seterusnya, untuk membersihkan permukaan kaca dengan cara yang mudah dan murah, ramai pakar pembersihan mencadangkan penggunaan cuka, menurut portal Reader's Digest.
Difahamkan, cuka sangat berkesan untuk menanggalkan kotoran degil serta sisa sabun.

Selain itu, kain mikrofiber adalah pilihan terbaik untuk membersihkan kaca. Ramai pakar lebih mengutamakannya berbanding surat khabar lama atau tisu dapur.
Cara yang disarankan ialah menggunakan kain mikrofiber yang sedikit lembap untuk mengelap, kemudian lap semula dengan kain kering supaya kaca kelihatan lebih berkilat.
3. Gunakan kain mikrofiber untuk habuk
Menurut portal Reader's Digest, kain mikrofiber sebenarnya lebih efektif untuk membersihkan permukaan meja atau televisyen.
Hal ini kerana kain mikrofiber mempunyai permukaan yang jauh lebih luas berbanding kain kapas biasa.
Malah, ia mempunyai permukaan gentian yang jauh lebih luas berbanding kain kapas biasa.

Selain itu, kain mikrofiber juga mempunyai cas yang membantu menarik habuk serta kotoran halus.
Disebabkan itu, habuk akan lebih mudah melekat pada kain tersebut, bukannya hanya ditolak atau berterbangan ke tempat lain.
4. Lap habuk dahulu, kemudian baru vakum
Portal Reader's Digest menasihatkan untuk mulakan dengan mengelap habuk terlebih dahulu sebelum menggunakan vakum.
Dengan cara ini, jika ada habuk atau kotoran yang jatuh ke lantai semasa mengelap, ia boleh terus disedut dengan vakum.
Malah, kerja memvakum sepatutnya menjadi langkah terakhir dalam setiap bilik.

Mulakan dengan mengemas barang yang berselerak, lap habuk pada permukaan, bersihkan cermin dan kaunter, serta kemaskan katil.
Selepas semuanya selesai, barulah vakum lantai.
5. Jangan campurkan cuka dengan soda penaik
Portal Reader's Digest turut menjelaskan bahawa banyak resipi pembersihan di internet mencadangkan mencampurkan cuka dan soda penaik. Sebenarnya, cara ini tidak begitu berkesan.
Memang benar campuran ini akan berbuih dengan kuat, tetapi buih tersebut hanya menunjukkan berlakunya tindak balas kimia.
Hasil tindak balas itu sebenarnya hanyalah air, karbon dioksida dan garam biasa.
Apabila kedua-duanya dicampurkan, keberkesanan masing-masing akan berkurang.

Cuka menjadi kurang berkesan untuk melarutkan kotoran mineral, manakala soda penaik pula kurang berkesan untuk menanggalkan minyak atau gris.
Namun begitu, campuran ini masih boleh digunakan untuk membersihkan saluran paip atau sinki.
Difahamkan, ini kerana buih yang terhasil dapat membantu melonggarkan kotoran ringan dalam ruang yang sempit.


