Tak Pernah Diceritakan Sebelum Ini: Shila Amzah Rupanya Mula Menyanyi Dari Lagu Iklan ‘Ibu’ Fernleaf

EntertainmentLifestyle
28 Jan 2026 • 10:09 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, perjalanan seni penyanyi bersuara emas, Shila Amzah, sebenarnya bukan bermula di pentas besar atau pertandingan nyanyian.

Sebaliknya, semuanya bermula daripada sebuah lagu iklan susu yang sering berkumandang di televisyen suatu ketika dahulu.

Dalam satu sesi temu bual terbaru, Shila mendedahkan kisah zaman kecilnya yang tidak pernah dikongsikan kepada umum sebelum ini. Menurutnya, ibunya mula menyedari bakat nyanyiannya hanya kerana dia gemar menyanyikan lagu-lagu iklan setiap hari di rumah.

Waktu kecil, hampir semua jingle iklan akan dihafal dan dinyanyikan semula. Namun ada satu lagu yang paling melekat di hatinya.

Lagu iklan susu Fernleaf bertajuk ‘Ibu’.

“My mom discover saya boleh nyanyi daripada umur kecil. One of the song was my favorite adalah lagu-lagu iklan,” katanya.

Menurut Shila, setiap kali lagu tersebut dimainkan di TV, dia pasti akan ikut menyanyi tanpa jemu.

“Saya akan nyanyi ‘Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku’. Setiap lagu iklan saya nyanyi, tapi lagu ni specifically was my favorite.”

Lagu Iklan Yang Jadi Titik Mula Perjalanan Seni

Lagu iklan Fernleaf yang cukup popular sekitar era 90-an dan awal 2000-an itu memang sinonim dengan tema kasih sayang seorang anak terhadap ibu, sebab itulah ia begitu dekat di hati Shila sejak kecil.

Tanpa disedari, daripada sekadar menyanyi suka-suka di ruang tamu rumah, bakatnya semakin terserlah sehingga ibunya mula nampak potensi sebenar yang ada pada dirinya.

Apa yang lebih menyentuh perasaan, Shila kini menyedari lagu tersebut seakan-akan menjadi ‘petanda awal’ perjalanan hidupnya.

Daripada seorang kanak-kanak yang menyanyi tentang ibu, kini dia sendiri sudah bergelar ibu dan menyanyikan lagu-lagu yang sarat dengan emosi kekeluargaan.

“Inilah yang specialnya,” katanya ringkas.

Pendedahan itu membuatkan ramai netizen tersentuh. Tidak sangka, suara hebat Shila Amzah yang dikenali hingga ke peringkat antarabangsa hari ini rupanya bermula hanya daripada sebuah lagu iklan susu Fernleaf yang sederhana, tetapi penuh makna.

Kadang-kadang, perkara kecil waktu kita budak-budak dulu… rupanya boleh jadi titik mula kepada sesuatu yang besar. – The Malaysian Update

The post Tak Pernah Diceritakan Sebelum Ini: Shila Amzah Rupanya Mula Menyanyi Dari Lagu Iklan ‘Ibu’ Fernleaf appeared first on The Malaysian Update.