'Tak pernah rasa gambar keluarga lengkap' – Emma Maembong & bekas suami sedondon raya kerana anak, belanja baju sekeluarga demi cipta memori bersama

LocalFamily & Parenting
19 Mar 2026 • 10:36 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DALAM hiruk-pikuk persiapan Aidilfitri, bagi pelakon Emma Maembong, raya bukan sekadar tentang baju baharu atau juadah semata-mata, tetapi ruang untuk menghidupkan kenangan dan menghargai kebersamaan walaupun datang daripada latar belakang keluarga yang tidak sempurna.

Membesar dalam situasi keluarga berpecah tidak pernah menjadikan sambutan lebarannya hambar, sebaliknya tetap meriah dengan kehadiran ahli keluarga yang ramai dan penuh warna-warni.

Sebagai anak ke-9 dalam keluarga besar, Emma sudah terbiasa dengan suasana riuh setiap kali menjelang Syawal.

Dari rumah ayah ke rumah mama, kemudian ke rumah saudara-mara lain, rutin itu menjadi tradisi yang tidak pernah berubah.

“Memang ramai… bila raya baru semua berkumpul. Kita kena jumpa sebab setahun sekali,” katanya.

image is not available

Walaupun perlu berpindah-randah lokasi dan kadang-kadang menukar pakaian, Emma mengakui suasana itu tetap menyeronokkan dan menjadi antara memori paling dekat di hatinya.

Menariknya, persiapan raya dalam keluarga mereka jarang sekali dilakukan awal.

Semuanya lebih kepada saat akhir dan penuh spontan.

"Memang huru-hara… kita bukan jenis yang well prepared, memang last minute,” katanya sambil ketawa.

Bahkan, soal pakaian juga bukan sesuatu yang mudah apabila melibatkan keluarga besar.

“Kalau beli baju, sekali boleh sampai 39 pasang sebab campur anak buah, adik-beradik, menantu… anak buah saja dah 25 orang,” ujarnya.

Namun baginya, semua itu bukan beban, sebaliknya satu keseronokan yang sukar diganti.

Walaupun ada kalanya terfikir soal kewangan, Emma percaya momen bersama keluarga jauh lebih bernilai.

“Kadang-kadang rasa macam tak cukup duit, tapi momen tu setahun sekali… bila tengok gambar, kita nampak semua makin membesar,” katanya.

Pengikat  hubungan

Baginya, kenangan itulah yang akan kekal dan menjadi pengikat hubungan walaupun masa terus berlalu.

Malah, setiap gambar yang dirakam membawa cerita tersendiri tentang perjalanan hidup mereka sekeluarga.

Namun di sebalik kemeriahan itu, Emma tidak menafikan ada satu kekosongan yang dirasai sejak kecil, ketiadaan gambar keluarga lengkap bersama ibu dan ayah.

“Tak pernah ada satu gambar raya yang ada mak dan ayah sekali,” luahnya.

Perasaan itu cukup memberi kesan sehingga dia pernah melukis sendiri potret keluarga demi merasai momen yang tidak pernah wujud dalam realiti.

image is not available

Kini, walaupun teknologi seperti AI boleh menghasilkan gambar sedemikian, bagi pelakon Kerana Cinta Itu Dusta,  ia tetap tidak sama dengan kenangan sebenar.

Pengalaman itulah yang membentuk cara Emma membesarkan anak-anaknya hari ini. Walaupun sudah berpisah dengan bekas suami, dia memilih untuk kekal berhubung baik demi kebahagiaan anak-anak.

Setiap kali raya, Emma akan memastikan dia menziarahi semua pihak dari rumah ayah, ke rumah mama dan juga ke rumah bekas suami.

“Itu ayah kepada anak-anak saya, jadi saya tak nak mereka rasa berbeza,” jelasnya.

Baginya, anak-anak perlu membesar dengan rasa lengkap walaupun ibu bapa tidak lagi bersama.

Apa yang lebih mencuri perhatian, Emma dan bekas suami juga masih memilih untuk mengenakan pakaian sedondon setiap kali Aidilfitri. Walaupun ada yang mempersoalkan tindakannya, Emma melihatnya dari sudut yang berbeza.

“Anak-anak perlu nampak ibu bapa mereka okey… tak perlu ada masalah,” katanya.

Bagi Emma, apa yang berlaku antara dia dan bekas suami adalah perkara di belakang, manakala kebahagiaan anak-anak harus sentiasa diutamakan.

Merakam  gambar  keluarga

Malah, setiap kali raya juga, Emma tidak pernah melepaskan peluang untuk merakam gambar keluarga lengkap bersama anak-anak dan bekas suami.

“Walaupun kami tak bersama, sekurang-kurangnya anak-anak ada gambar mak dan ayah,” ujarnya.

image is not available

Dia percaya, gambar-gambar ini akan menjadi memori penting apabila anak-anaknya dewasa kelak, sesuatu yang dia sendiri tidak pernah miliki ketika kecil.

Walaupun membesar tanpa momen keluarga lengkap, Emma tetap melihat sisi positif dalam kehidupannya. Dia tidak pernah menganggap dirinya melalui zaman kanak-kanak yang menyedihkan kerana masih dikelilingi keluarga besar yang penyayang.

“Tak adalah membesar dengan sedih… gembira je sebenarnya. Pergi rumah sana sini, jumpa sepupu, semua tu seronok,” katanya.

Cuma, kekosongan tentang kenangan bersama ibu dan ayah itu yang tidak pernah terisi.

Kini, Emma memilih untuk tidak mengulangi kitaran yang sama. Apa yang tidak pernah dirasainya dahulu, cuba diberikan sepenuhnya kepada anak-anaknya hari ini.

image is not available

Akuinya, keluarga tidak semestinya perlu sempurna untuk mencipta kebahagiaan, tetapi usaha untuk memastikan anak-anak merasa cukup itu adalah perkara paling penting.

Dan dalam kesibukan menyambut Syawal setiap tahun, Emma membuktikan bahawa kasih sayang dan memori indah masih boleh dicipta, walaupun bermula daripada sebuah keluarga yang pernah retak.