Seorang lelaki di New York tergamak membunuh isterinya yang sedang hamil lima bulan serta menikam dua anak perempuan mereka, hanya kerana kecewa apabila mendapat tahu anak ketiga mereka juga adalah perempuan.
Kejadian menyayat hati itu dilaporkan berlaku pada 5 September 2024 di kediaman mereka di Centerville. Polis Negeri New York menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan setibanya di lokasi, mereka mendapati tiga mangsa perempuan mengalami luka tikaman parah. Ketiga-tiga mangsa segera diberikan rawatan sebelum diterbangkan ke hospital.
Mangsa, Samantha Garnier, 29, disahkan meninggal dunia tidak lama selepas tiba di hospital. Ketika kejadian, Samantha sedang mengandung anak ketiga. Pemeriksaan sebelum itu menunjukkan kandungan tersebut juga adalah anak perempuan, yang dipercayai menjadi punca kemarahan suaminya, Drew Garnier.
Dua anak perempuan mereka yang turut menjadi mangsa serangan, tetapi berjaya diselamatkan selepas menerima rawatan lanjut.
Drew Garnier, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh secara tidak sengaja dan dua pertuduhan menyerang dengan niat mencederakan. Dia dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan tambahan 15 tahun pengawasan selepas dibebaskan, hasil perjanjian dengan pihak pendakwa raya.
Pejabat Pendakwa Raya Daerah Delaware memaklumkan, hanya satu kenyataan mangsa dibacakan ketika prosiding hukuman, iaitu daripada bapa kepada Samantha yang menyalahkan Drew atas kematian anak perempuannya.
“Dia membunuh anak saya kerana dia mahu anak lelaki,” katanya dengan nada penuh kecewa di mahkamah.
Selepas kematian Samantha, dua anaknya kini di bawah jagaan datuk mereka yang telah mengambil mereka sebagai anak angkat.
“Saya ayah mereka sekarang, saya akan melindungi mereka.”
Pendakwa raya, Shawn J. Smith mengakui perjanjian pengakuan ini bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Namun, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kedua-dua kanak-kanak berkenaan melalui pengalaman perbicaraan yang boleh memberi kesan trauma lebih berat.
“Kami mahu mereka fokus untuk pulih, bukan diheret ke mahkamah untuk mendengar semula apa yang telah berlaku,” jelasnya.
Mahkamah turut mengarahkan agar Drew Garnier tidak dibenarkan menghubungi kedua-dua anaknya sehingga tahun 2056, kecuali jika mereka sendiri mahu berhubung dan mengemukakan permohonan kepada mahkamah kelak. – Agensi
The post Tak puas hati dapat anak perempuan lagi, lelaki tikam isteri mengandung & dua anak sendiri appeared first on The Reporter.




