
BUKAN mudah bagi seorang wanita untuk berdiri megah membesarkan empat orang anak sendirian.
Pun demikian, bagi diva vokal negara, Ziana Zain, fasa lapan tahun bergelar ibu tunggal dilalui dengan penuh ketabahan demi melihat permata hatinya mengecap bahagia.
Pada usia yang kini menghampiri angka 60 tahun, pelantun lagu Madah Berhelah itu terang-terangan mengakui pintu hatinya belum pernah terbuka untuk kembali bergelar isteri.
Apatah lagi memikirkan soal mencari cinta baharu langsung tidak pernah singgah di ruang fikiran kerana tumpuan sepenuhnya kini hanya ditala buat keluarga tercinta.

Jiwa keibuannya terlalu sarat dengan kasih sayang sehinggakan Ziana sendiri tidak sampai hati untuk melakukan apa sahaja perkara yang boleh melukakan emosi anak-anaknya yang sudah lama mendambakan kebahagiaan sebuah keluarga.
“Sejujurnya, saya tidak terfikir pun. Pada usia menghampiri 60 tahun ini dan sejak bercerai dahulu lagi memang tidak terlintas.
"Bila tengok mata anak-anak, saya tidak sampai hati. Takut mereka terasa, apatah lagi mereka sudah kehilangan satu sisi kasih sayang sebelum ini,” luah Ziana sambil menahan sebak yang sarat di dada.
Kebimbangan terbesarnya adalah sekiranya dia mendirikan rumah tangga lagi, tumpuan kasih sayangnya akan berbelah bagi.
Bahkan, kebimbangan anak-anak sukar menerima kehadiran seorang bapa tiri dalam hidup mereka turut diambil kira.
Luahan ikhlas itu dikongsikan sendiri oleh Ziana ketika menjadi tetamu jemputan dalam program audio siar Kasionzchannel yang dikendalikan oleh sahabat baiknya, Erra Fazira bersama suami, Ezwan Zain.

Menyedari anak-anaknya masih memerlukan sokongan moral yang kuat, kakak kepada penyanyi terkenal, Anuar Zain itu lebih rela mengetepikan keinginan peribadi demi mengelakkan sebarang salah faham atau rasa terkilan di hati anak-anak.
“Saya takut jika berkahwin, tumpuan saya akan beralih. Anak-anak masih memerlukan kasih sayang lebih.
"Kalau berkahwin, itu bukan bapa sebenar mereka. Saya risau tiada persefahaman dan anak-anak akan terasa hati,” katanya penuh jujur mengenai dilema seorang ibu tunggal.
Walaupun begitu, sebagai hamba-NYA yang reda dengan setiap aturan hidup, dia sama sekali tidak menolak andai takdir pada masa hadapan sudah tertulis dia bakal bertemu peneman hidup.
Namun perkara tersebut bukanlah agenda utama yang dicarinya buat masa sekarang.
Menggalas amanah besar
Baginya, apa yang paling penting ketika ini adalah ketenangan jiwa di samping melihat anak-anak membesar menjadi insan yang berguna dan berjaya dalam hidup.
“Keutamaan saya selepas ALLAH adalah anak-anak. Saya mahu hidup tenang bersama mereka, fikiran tenang, hati pun tenang.
"Saya mahu lihat mereka berjaya. Itu sahaja fokus saya sekarang. Kalau esok lusa ada ketentuan lain, itu urusan ALLAH. Tetapi buat masa ini, saya cuba elak dan fokus pada apa saya rasa penting,” jelasnya lagi.
Menganggap dirinya tidak lebih daripada sekadar sebuah ‘kenderaan’ yang bertanggungjawab membawa anak-anak menuju ke gerbang masa depan yang lebih cerah, Ziana terus mengumpul kekuatan untuk berdiri di atas kaki sendiri demi menggalas amanah besar tersebut dengan sebaik mungkin.

“Saya ibarat kenderaan membawa anak-anak ke destinasi lebih baik.
"Itulah tugas saya sebagai ibu dan saya mahu laksanakan sebaik mungkin,” luahnya menyentuh hati.
Ziana sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 sebelum ikatan tersebut terlerai pada Julai 2018.
Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 26, Muhammad Ammar, 22, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang kini berusia 17 tahun.
