
KISAH hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian, namun bagi wanita kental bernama Atie Baharain, setiap liku yang dilalui adalah sebuah perjalanan hijrah hati yang cukup meruntun jiwa.
Membesar dalam keluarga yang didominasi wanita cekal, ibunya seorang ibu tunggal selama 40 tahun dan kakaknya pula selama 12 tahun, Atie seakan sudah sebati dengan takdir yang menuntutnya untuk sentiasa berdiri di atas kaki sendiri.
Kematian bapa ketika usianya baru mencecah 11 bulan meninggalkan lohong kosong dalam dirinya, namun siapa sangka, aturan Tuhan itu sangat indah apabila DIA menggantikan setiap kesedihan itu dengan sinar harapan yang tidak disangka-sangka di kala hatinya hampir tertutup buat lelaki.
Lahir di Felda Sg Behrang dan membesar di Behrang Stesen sebelum berkelana ke kota Shah Alam pada usia 17 tahun, Atie mengakui hidupnya tidaklah semudah yang disangka.
Pernah melalui kegagalan dalam dua pernikahan terdahulu, Atie tidak melihatnya sebagai titik akhir, sebaliknya menganggap enam cahaya mata hasil perkahwinan tersebut sebagai amanah terbesar daripada Sang Pencipta.
"Aku seorang wanita yang pernah gagal dalam dua pernikahan dan dari hasil dua pernikahan itu ALLAH amanahkan enam orang malaikat kecil untuk menemani perjalanan si pendosa mencari jalan ke Syurga ini," kongsinya melalui satu hantaran di laman Facebook miliknya baru-baru ini.
Menjadi 'ibu dan ayah'
Menjadi ibu tunggal selama lima tahun bukanlah satu tugas yang ringan, apatah lagi apabila bekas suami kedua menghilangkan diri tanpa khabar berita, memaksa Atie menjadi 'ayah' dan 'ibu' dalam satu masa demi menafkahi keperluan anak-anaknya.
Luah wanita hebat itu lagi, dia sudah penat mengemis hak anak-anaknya suatu ketika dahulu dan akhirnya memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH.
"Sekarang akulah mak akulah bapa menafkahi semua keperluan anak-anak.
"Banyak hal aku nak tebus balik bab amanah dan tanggungjawab aku sebagai seorang ibu selama berpisah dengan anak-anak sebelum ni," ujarnya yang tekad mahu memberikan didikan agama terbaik buat permata hatinya.
Namun, doa yang sering dipanjatkan untuk membawa enam beradik itu keluar dari hiruk-piruk kota akhirnya dimakbulkan Tuhan melalui cara yang paling luar biasa.

Pada Disember tahun lalu, dia akhirnya akur untuk menamatkan zaman solonya dengan lelaki pilihannya, Mohd Zaeem Ghufran.
Menariknya, perkenalan yang bermula sekadar urusan kerja membina laman web lima tahun lalu tidak melibatkan soal hati sehinggalah Zaeem menunjukkan kesungguhan yang luar biasa untuk menyunting Atie sebagai suri hidupnya.
"Terima kasih sudah menjadi lelaki gila pahala dengan memilih kami sebagai tiket ke syurga," tulis Atie buat suami tercinta.
Baginya, keputusan untuk berhijrah ke Terengganu dan membina hidup baharu bukan semata-mata kerana suami, tetapi kerana dia merasakan itu adalah tempat terbaik untuk dia 'settle down' dan meninggalkan segala luka serta trauma masa lalu.
Dia memilih jalan ini demi ketenangan hati dan perlindungan daripada fitnah manusia.
"Aku pilih mencari ALLAH dalam perjalanan hijrah ini sebab ia bukan tentang jarak tapi hijrah hati.
"Lillahitaala pernikahan kali ini kerana Allah dan kerana fahaman agamanya aku pilih untuk teruskan juga," katanya lagi.
Solat ada imam
Paling menyentuh hati, keputusan untuk bernikah semula itu turut mendapat restu dan sokongan padu daripada enam orang anaknya.
Bagi mereka, kehadiran seorang figura bapa di rumah bermakna mereka kini mempunyai imam untuk solat berjemaah dan guru untuk belajar mengaji.
Jawapan konsisten daripada anak-anaknya seperti "Yeay! boleh kami solat ada imam" dan "Kakak nak raya lengkap satu keluarga" sudah cukup untuk membuatkan air mata sesiapa sahaja tumpah.

Atie yang membesar tanpa susuk bapa sejak kecil sangat berharap agar anak-anaknya menjalani kehidupan yang lebih baik dari segi agama melalui kehadiran bapa baharu dalam keluarga mereka.
Walaupun kini sudah bergelar isteri, Atie tetap bertegas akan terus berjuang demi anak-anak tanpa meletakkan beban itu sepenuhnya ke bahu suami.
"Aku masih berjuang setiap hari untuk menafkahi 6 beradik sebab aku lah ‘rumah’ mereka. Bersuami baru bukan bermakna aku boleh pindahkan tanggungjawab tu semua di bahu dia.
"Tapi setiap hari aku berterima kasih kepada lelaki ini yang sudah berusaha sabar dengan kami yang huru hara," ungkapnya penuh tulus.
Kehidupannya kini jauh lebih tenang, menikmati hari-hari seperti yang pernah diimpikannya dahulu.
