“Tak Sangka Imamkan Jenazah Anak Sendiri” – Perkongsian Lelaki Tentang Pemergian Anak Buat Ramai Sedih

LocalFamily & Parenting
20 Nov 2025 • 4:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Buat kebanyakan individu, kehilangan insan tersayang sememangnya amat memeritkan.

Tidak kiralah anak yang kehilangan ibu bapa atau ibu bapa yang hilang anak, pastinya kejadian sebegini memberi kesan buat mereka yang masih hidup.

Apatah lagi, jika insan tersayang pergi secara tiba-tiba dan dalam keadaan yang tidak disangka.

Pastinya ini menjadi detik sukar buat mereka yang masih hidup untuk menerima hakikat bahawa orang tersayang telah pergi selamanya.

Anak Pergi 2 Hari Selepas Ambil Jubah Untuk Majlis Konvokesyen

Itulah yang dialami oleh seorang lelaki apabila anak tersayang telah pergi buat selamanya.

Menerusi hantaran Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad di Facebook, dia berkongsikan selfie terakhir bersama arwah anaknya, Wan Adlin Nadhilah sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil jubah konvokesyen di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Khamis (13 November) lalu.

Kongsi Wan Nasrul, anaknya yang mesra disapa sebagai Alin sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen pada 24 November depan bagi meraikan kejayaan menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Namun, segalanya musnah sekelip mata apabila Alin pergi buat selamanya pada 15 November lalu dalam kemalangan yang berlaku di Temerloh, Pahang.

Sebelum kejadian, Alin bersama ahli keluarga yang lain telah keluar untuk mengambil gambar kenangan memakai jubah konvokesyen.

Manakala, dia, isteri serta anak keempat mereka pulang ke Kuantan bagi melakukan kerja pembersihan di kediamannya.

“Aku habis meracun rumput pada waktu tengahari Sabtu 15 November 2025.

“Petang jam 5:54 petang Sabtu itu, aku dapat panggilan telefon dari adik bongsu aku, mengatakan bahawa kereta Volkswagen Polo yang dipandu adik kedua bongsu aku, Noni, dinaiki oleh Alin dan anak ketiga aku yang aku panggil Baby, serta kawan adik aku, Kak Zana, telah terlibat dalam kemalangan.

“Jam 6:12 petang, aku dapat panggilan telefon dari adik lelaki aku, Ustaz Wan Saiful, yang mengatakan Alin telah meninggalkan aku,” tulisnya.

Sedih Dengan Pemergian Anak, Tak Sangka Akan Imamkan Jenazah Anak Sendiri

Kongsi Wan Nasrul, dia dan isteri amat terkejut malah terlalu sedih dengan berita yang diterima.

“Aku baru tahu yang aku lemah sebenarnya. Aku tak kuat macam orang lain. Aku tak mampu tampung dugaan itu.

“Dua jam lebih aku dan isteri tak tahu nak buat apa, isteri aku hanya menangis, aku sekejap-sekejap menangis, sekejap merenung kosong tak tahu buat apa,” jelasnya.

Lebih memilukan, Wan Nasrul yang tidak pernah menjadi imam solat jenazah tidak menyangka akan menjadi imam untuk jenazah anaknya sendiri.

“Aku imamkan solat jenazah dia, tak pernah aku sangka yang aku akan jadi imam solat jenazah untuk anak aku sendiri. Aku tak pernah pun menjadi imam solat jenazah sebelum ini,” kongsinya lagi.

Selfie terakhir dengan anak aku, Wan Adlin Nadhilah binti Wan Nasrul Hakim yang aku panggil Alin.Dia sepatutnya ke…

Posted by Tekan Minyak on Tuesday 18 November 2025

Urusan Pengebumian Lancar, Tetap Akan Hadir Majlis Konvokesyen Anak

Memetik Harian Metro, urusan pengurusan jenazah sehingga pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Mukim Mentakab pada Ahad (16 November) lalu berjalan dengan lancar.

“Pemergiannya satu kehilangan besar. Selepas solat Zuhur semalam pun, saya menangis waktu sujud akhir kerana terkenangkan Alin dan lagi sedih kalau bersendiri jadi kena ada orang teman.

“Cuma, saya bersyukur kerana arwah pergi dalam keadaan wajahnya tak cedera, tak nampak ada kesakitan dengan auratnya pun tertutup ketika terbaring (selepas kemalangan).

“Nampak wajahnya bersih, tersenyum dan seolah sedang tidur,” kata Wan Nasrul lagi.

Jelasnya lagi, mereka sekeluarga tetap akan menghadiri majlis konvokesyen di UKM pada Isnin depan sebagai wakil walaupun tidak dapat melihat Allahyarham menaiki pentas mengambil skrol tamat pengajiannya.

Ramai Sedih, Titip Ucapan Takziah Buat Wan Nasrul

Perkongsiannya itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial. Mengintai ke ruangan komen, ramai yang menzahirkan ucapan takziah kepada Wan Nasrul atas pemergian anak tersayang.

Tidak kurang juga ada yang turut bersedih dan memahami apa yang dirasakan oleh lelaki berkenaan.

Ini antara komen pengguna Facebook:

“Salam Takziah, Semoga Arwah Ditempatkan Dalam Kalangan Orang Beriman”

image is not available

“Saya Tak Boleh Bayangkan, Kalau Saya Ditempat Kamu, Saya Tak Tahu Nak Buat Apa. Anda Kuat”

image is not available

“Salam Takziah Bang”

image is not available

Baca Artikel Berkaitan: Kepulangan Ibu Penuh Tangisan, Anak Meninggal Dunia Pada Hari Pertama Tiba Di Mekah [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Nahas Bas UPSI: “Hantar Anak Malam Tadi, Pagi Ini Dapat Tahu Dia Meninggal Dunia” – Ibu