Tak sangka kena berucap di WTC, Anthony akui gugup

Politics
14 May 2023 • 5:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di WTC Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengakui agak gugup semasa berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 kerana menganggap ia adalah pengalaman kali pertama buatnya.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, tidak terlintas di fikirannya bahawa dia akan berbuat demikian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang merupakan kubu seteru politik lamanya, UMNO.

“Saya rasa tak pernah ada seorang pun dalam DAP termasuk rakan saya, Gobind Singh Deo yang terfikir tentang perkara ini.

“Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mungkin sudah biasa kerana ia ibarat kembali gelanggang lama. Jadi, saya kira ia merupakan hari yang cukup bersejarah,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di WTC Kuala Lumpur di sini pada Ahad.

Anthony semasa ucapan tersebut turut mengulas mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah kerana menyambut kehendak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Justeru katanya, perkara tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa tuduhan DAP tidak menghormati institusi beraja di negara ini adalah tidak berasas.

“Jelas, semua pihak mendukung prinsip kesetiaan kepada raja dan negara. Akan tetapi, yang ‘sebelah sana’ itu saya tak tahulah,” ujarnya.

Beliau turut menganggap konvensyen yang berlangsung hari ini sebagai titik permulaan ke arah Malaysia yang lebih berwawasan meskipun gagasan Kerajaan Perpaduan berkenaan terdiri daripada parti yang pernah berentap dalam pilihan raya sebelum ini.