Tak sempat solat Jumaat, 2 remaja maut motosikal rempuh lori

12 Apr 2025 • 9:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kedua-dua mangsa berusia 17 dan 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto BBP Bukit Gmabir

TANGKAK - Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Gambir 34, Bandar Baru Bukit Gambir di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 17 dan 18 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah untuk bersiap menunaikan solat Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang mangsa hilang kawalan sebaik tiba di lokasi sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori jenis Nissan MK36 berwarna hijau.

“Lori berkenaan diletakkan di bahu kiri jalan. Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836 bagi membantu siasatan.