Tak serik, cabar pihak berkuasa berniaga tanpa lesen

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tak serik, cabar pihak berkuasa berniaga tanpa lesen

PETALING JAYA – Isu warga asing bermaharajalela berniaga dan menjaja secara haram di negara ini termasuk di kawasan pasar borong bagaikan tiada kesudahan dan sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Rata-rata mereka bukan sahaja tidak serik, malah seperti mencabar pihak berkuasa apabila kembali aktif berniaga selepas sebulan operasi dijalankan
di satu-satu kawasan tersebut.

Tindakan golongan itu menjaja dengan menempel di tepi jalan dan kaki lima termasuk berdekatan Pasar Borong Selayang dikhuatiri boleh menjejaskan periuk nasi peniaga tempatan.

Menurut Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, situasi itu turut memberi kesan kepada pasar yang dibina kerajaan apabila pelanggan tidak masuk ke dalam premis berkenaan.

“Kerajaan membina pasar-pasar yang tersergam indah, akhirnya pelanggan tidak masuk pasar kerana peniaga asing berniaga di tepi jalan.

“Penjaja a­sing berniaga sesuka hati mereka dengan menempel di kawasan tumpuan seperti di Pasar Selayang. Peniaga tempatan di negara ini tidak boleh menerima keadaan ini dan meminta pihak kerajaan mengatasinya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Image from: Tak serik, cabar pihak berkuasa berniaga tanpa lesen
Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan berterusan ke atas peniaga warga asing yang berniaga tanpa lesen terutama berdekatan pasar borong.

Menurut Rosli, isu lambakan penjaja asing kerap disuarakan pihaknya sejak puluhan tahun lalu, namun tiada tindakan atau penyelesaian tuntas diambil setakat ini.

“Banyak badan bukan kerajaan (NGO) mengambil tindakan membelakangkan undang-undang. Saya sarankan semua NGO desak kerajaan supaya isu lambakan warga asing ini dapat di­atasi,” katanya.

Rosli berkata, keadaan itu turut menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan tindakan penguatkuasaan apabila terdapat warga asing yang kembali berniaga selepas serbuan dilakukan di sesebuah lokasi.

“Selepas serbuan pihak berkuasa, mereka kembali berniaga tanpa rasa takut. Jadi kita mahu tindakan lebih tegas agar ia tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengawal keadaan dengan memastikan kawasan sekitar pasar tidak sewenang-wenangnya dijadikan lokasi menjaja.

“Mereka perlu memastikan tiada peniaga berniaga sekurang-kurangnya satu kilometer dari pasar. Jika tidak, bangunan pasar akan jadi ‘gajah putih’, kerajaan tidak dapat kutip hasil sewa dan hasil lesen,” katanya.

Image from: Tak serik, cabar pihak berkuasa berniaga tanpa lesen
ROSLI

Rosli turut menyarankan agar satu tindakan drastik diambil bagi memastikan tiada peniaga asing terlibat dalam sektor itu.

Tambahnya, langkah itu dibuat bagi membela nasib peniaga dan penjaja dalam kalangan orang tempatan terutama di Lembah Klang.

Semalam Kosmo! menerusi laporan muka hadapan me­laporkan seorang pempengaruh mendedahkan menerima ugutan bunuh selain cacian dan makian ekoran tindakannya membongkarkan kegiatan perniagaan ha­ram dan sikap pengotor dalam kalangan warga asing.

Mohammad Badrul Ridzuan Mohamad atau Awie MBR mendakwa, ugutan dan makian itu diterima sepanjang empat bulan dia dan rakan-rakannya aktif menghasilkan kandungan yang mendedahkan isu berkaitan warga asing.

Awie MBR memaklumkan, dia melakukan tugasan itu selepas terkesan dengan tindakan seorang penyampai radio yang memuat naik kandungan berkaitan bangunan dihuni oleh warga asing dan pelarian Rohingya di Hulu Langat.

Lelaki itu mendakwa dia tidak membenci warga asing, sebalik­nya tindakan tersebut dilakukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tempatan mengenai hak yang makin terhakis.

The post Tak serik, cabar pihak berkuasa berniaga tanpa lesen appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved