
KUALA LUMPUR: Pelakon jelita bertaraf legenda, Deanna Yusoff, 59, berharap masyarakat tidak keliru, berteka teki atau membuat andaian terhadap status agama yang dianutinya hanya disebabkan dirinya yang lama menghilang daripada dunia seni tanah air.
Jelas Deanna, dia masih kekal sebagai wanita Muslim namun mengamalkan gaya hidup sedikit berbeza disebabkan latar belakangnya sebagai perempuan berdarah campur Melayu dan Switzerland.
“Hal tentang agama ini amat peribadi untuk diceritakan. Ia antara saya dengan Tuhan. Namun, saya, sejak dilahirkan, kekal sebagai Islam. Tak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menukar agama hanya disebabkan kini saya menetap di tempat lain.
“Mungkin masyarakat sedikit keliru kerana berlaku sedikit percampuran adat dan tradisi memandangkan saya ini dilahirkan dalam keluarga campur yang mana, ibu saya orang Switzerland dan saya juga pernah membesar di sana.
“Jadi, saya harap orang tidak keliru. Saya masih Islam dan mempunyai ramai kawan Melayu yang saling menghormati antara satu dengan yang lain. Harap tidak timbul soal saya keluar agama dan sebagainya,” katanya yang ditemui sempena sidang media kolaborasi antara Bobo Kl dan platform penstriman global, Ohh! Jazz di ibu negara, semalam.
Deanna, yang menetap di Singapura sekarang ini pada masa yang sama meluahkan kerinduan terhadap pembabitannya dalam dunia lakonan tanah air dan tidak menolak untuk kembali aktif jika menerima watak yang sesuai dengan usia dan kelapangannya.
Malah pelakon yang pernah popular menerusi filem Ringgit Kasorrga, Anna And The King dan Chermin ini mengakui sentiasa menerima tawaran untuk kembali dalam bidang dicintainya itu.
“Tentu sekali saya rindu untuk beraksi di hadapan kamera, tambahan pula bidang lakonan ini dianggap sebagai ‘cinta’ pertama saya. Sebenarnya saya amat terharu apabila masih ada peminat yang menghantarkan mesej, meluahkan yang mereka ingin melihat kemunculan saya dalam filem atau drama tempatan.
“Saya juga bersyukur kerana setakat ini saya tidak pernah putus menerima tawaran (lakonan) dari penerbit Malaysia dan Singapura, cuma kebanyakan tawaran itu datang ketika saya tidak lapang.
“Malah, sebelum ini saya pernah menerima watak yang pada saya, menarik. Namun tawaran itu terpaksa saya tolak disebabkan masa yang tidak mengizinkan.
“Saya berasa sedikit ralat kerana terpaksa melepaskan tawaran tersebut kerana ia tidaklah selalu datang. Tapi, saya akan terus menantikan watak yang berlainan dan lebih mencabar, tak mahulah asyik melakonkan watak yang sama.
“Dan hakikatnya, saya bukanlah muda lagi. Sebab itu saya perlukan watak berbeza, yang memberi inspirasi dan memperkasa kaum wanita yang lebih berusia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Deanna yang juga popular menerusi sitkom Spanar Jaya itu tidak bersetuju apabila pelakon wanita berusia dikatakan kurang menarik untuk dijadikan sebagai peneraju dalam sesebuah naskhah filem atau drama.
Malah beliau menjelaskan bahawa masalah sebenar adalah kekurangan watak yang sesuai dan keterbatasan untuk pelakon seusianya meneroka karakter yang lebih berlainan dan mencabar.
“Ada setengah orang berpandangan, pelakon wanita, apabila sudah mencapai usia tertentu, tidak lagi menarik untuk diletakkan di layar lebar. Saya pula tidak bersetuju dengan pendapat tersebut.
“Sebab itulah, kalau diberi peluang, saya mahu melakonkan watak yang memberi inspirasi kepada wanita seusia saya. Watak seperti itu sepatutnya lebih banyak ditulis dalam skrip drama atau filem tempatan,” ujarnya.
Deanna sementara itu memaklumkan dia selesa dengan kehidupan sekarang dan memilih untuk tidak terlalu terbuka bercerita tentang hal peribadinya kepada umum.
“Saya, sejak dulu, bukanlah seorang yang gemar bercerita mengenai perihal peribadi. Bahkan saya juga tidak pernah mendedahkan apa sahaja berkaitan hal keluarga. Semua ini adalah atas permintaan mereka sendiri.
“Tetapi, saya juga memahami tugas wartawan yang sentiasa mencari cerita peribadi artis. Saya hormati perkara itu.
“Cuma, Saya lebih selesa untuk tidak mencampur adukkan perkara itu dengan hal kerjaya. Bukan cara saya untuk membuka cerita personal.
“Mungkin ada artis yang terbuka mengenai perkara itu, dan saya hormati pilihan mereka. Tetapi saya selesa dengan cara ini sejak dulu lagi. Saya sebenarnyanya seorang pemalu dan sangat menjaga privasi,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, aktress yang kekal cantik di usia 59 tahun itu memuji inisiatif yang dijalankan BoboKL dan Ohh! Jazz dalam menyerlahkan bakat nyanyian tempatan ke peringkat antarabangsa.
Katanya, kerjasama ini memberi ruang kepada pemuzik Malaysia untuk mempersembahkan karya mereka kepada khalayak yang jauh lebih luas, sekali gus menghubungkan arena muzik live Kuala Lumpur dengan penonton di kotaraya seperti Tokyo, London, Sydney, Sao Paulo dan Pittsburgh. – UTUSAN
The post Tak timbul soal keluar agama, saya masih Islam – Deanna Yusoff appeared first on Utusan Malaysia.


