Taktik label set elektronik terbongkar, JKDM rampas dadah RM3.1 juta

20 May 2026 • 2:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Taktik label set elektronik terbongkar, JKDM rampas dadah RM3.1 juta
Ahmad Taufik (kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas JKDM Sabah

KOTA KINABALU - Taktik menyembunyikan dadah dalam bungkusan kurier dengan melabelkannya sebagai set barangan elektronik antara modus operandi yang dikesan dalam tiga cubaan membawa masuk bahan terlarang itu ke Sabah dan berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini.

Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, cubaan berkenaan berjaya dipatahkan apabila dadah bernilai RM3.1 juta dirampas menerusi operasi dan pemeriksaan yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau.

Beliau berkata, dalam kes pertama kira-kira jam 1.35 tengah hari pada 11 Mei lalu, pegawai bertugas menjalankan pemeriksaan terhadap bagasi di Lapangan Terbang Tawau.

“Pasukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau telah melakukan pemeriksaan fizikal terhadap empat bagasi di Gudang POS Aviation LTA Tawau selepas imej imbasan menunjukkan kandungan mencurigakan dipercayai dadah.

“Hasil pemeriksaan menemukan 142 beg plastik kedap udara berzip yang mengandungi 57.27 kilogram hablur jernih disyaki methamphetamine dengan anggaran nilai RM2.863 juta.

“Modus operandi yang digunakan ialah memasukkan bahan terlarang yang disyaki dadah ke dalam beg plastik kedap udara berzip sebelum dimasukkan ke dalam bagasi dan dikirim ke Tawau menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam Sabah, di sini, pada Selasa.

Mengulas kes kedua, beliau berkata, pada hari sama kira-kira jam 1 tengah hari, Cawangan Narkotik JKDM Sabah merampas satu bungkusan mencurigakan di Gudang POS Aviation Kota Kinabalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi 4,678 gram dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM233,900 dan dipercayai dikirim ke Semporna menggunakan perkhidmatan kurier.

“Modus operandi yang digunakan ialah memasukkan bahan terlarang tersebut ke dalam bungkusan berwarna putih sebelum dimasukkan ke dalam kotak dan dikirim ke Semporna menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi kes ketiga pula, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi pada 8 Mei lalu apabila Cawangan Narkotik JKDM merampas satu bungkusan di Gudang POS Aviation Kota Kinabalu yang disyaki mengandungi 375 gram dadah jenis ekstasi bernilai RM56,250.

“Modus operandi yang digunakan ialah melabel barangan sebagai set barangan elektronik pada bungkusan penghantaran,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan berat dadah yang dirampas bagi ketiga-tiga kes itu adalah 62.32 kilogram dengan nilai dianggarkan RM3.153 juta.

“Ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.