KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 305.722 kilogram (kg) bernilai lebih RM15 juta dalam sebuah kontena di kawasan Pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata rampasan itu dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 April lalu selepas pihaknya menerima maklumat risikan berhubung sebuah kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang.
Menurutnya, sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Sabah bersama Pasukan Cawangan Import Eksport, Pelabuhan Sepanggar kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas kontena berkenaan di Kawasan Pemeriksaan Kastam.
"Hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar keseluruhan 305.722kg yang dianggarkan bernilai RM15,286,100.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat," katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan sumber sebenar dadah berkenaan, meskipun kontena itu dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang sebelum tiba di Sabah.
"Kita juga belum dapat memastikan sama ada dadah ini untuk pasaran tempatan atau cuba diseludup ke luar negara, namun kita tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan taktik mengikrarkan muatan kontena sebagai 'drink stuff' dalam dokumen Bill of Lading bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.






