Takut jadi 'saham’ akhirat, Ozlynn enggan jual baju ketat, mula risau koleksi beg tangan. 'Apa nak jawab dengan ALLAH nanti'

2 Jun 2026 • 10:33 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Takut jadi 'saham’ akhirat, Ozlynn enggan jual baju ketat, mula risau koleksi beg tangan. 'Apa nak jawab dengan ALLAH nanti'

BAGI peminat dunia hiburan, nama pelakon Rozlinawaty Ismail atau lebih dikenali sebagai Ozlynn Waty sememangnya cukup sinonim dengan imejnya yang bersahaja dan ceria. Namun, perkongsian terbaharu isteri kepada pelawak terkenal, Johan, ini benar-benar menyentuh hati dan membuatkan ramai muhasabah diri.

Ozlynn mendedahkan bahawa dia kini lebih selesa memilih gaya hidup yang ringkas dan tenang, seiring dengan perubahan fasa usianya.

Menjawab pertanyaan pengguna Threads, ibu kepada enam cahaya mata itu mengakui dia kini mula memikirkan tentang 'saham' akhirat, terutamanya melibatkan pakaian-pakaian lamanya yang ketat atau mengikut bentuk tubuh.

Walaupun pakaian tersebut berjenama dan bernilai tinggi, dia mengambil keputusan tegas untuk tidak menjualnya semula (preloved) kepada orang lain.

Bukan itu sahaja, Ozlynn turut berkongsi dilema apabila melihat kembali koleksi beg berjenama yang pernah dibelinya dahulu.

Jelas Ozlynn, pembelian tersebut dibuat atas dasar minat dan dia sengaja memilih warna-warna eksklusif serta edisi terhad.

Image from: Takut jadi 'saham’ akhirat, Ozlynn enggan jual baju ketat, mula risau koleksi beg tangan. 'Apa nak jawab dengan ALLAH nanti'

"I beli dulu memang sebab I suka. I pilih warna yang mahal, yang susah nak dapat dan limited. Tapi I pakai bukan untuk tontonan umum. Hanya beberapa kawan tahu yang I memang ada koleksi beg dan kadang-kadang kalau kawan nak pakai pergi event pun I bagi," kongsinya.

"Sekarang apabila tengok koleksi beg, apa I nak jawab dengan ALLAH nanti?

"Even baju mahal yang labuh tapi ikut bentuk tubuh pun I tak akan jual balik. Biar rugi kat dunia, takut orang beli dan pakai, saham I kat akhirat macam mana," titipnya.

Meniti usia 45 tahun, Ozlynn memilih untuk menjalani kehidupan yang ringkas.

Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depannya terhadap barangan mewah tersebut, pelakon itu memberi bayangan mungkin akan melepaskan sebahagian daripada koleksi beg berkenaan.

"Beg mungkin ada yang nak jual. I suka kehidupan yang simple sekarang. Tenang,"titipnya.

Ozlynn terdahulu berkongsi hal berkenaan di untaian pengguna Threads mengenai pandangan peribadi seseorang berkenaan pembelian beg tangan bernilai ribuan ringgit.

Jelas irdanazzira, yang mahal tidak semestinya membuat seseorang nampak lebih bergaya, manakala yang murah tak semestinya nampak murah.

"Saya memang tak boleh terima alasan untuk beli beg tangan yang harga dia RM10,000, RM20,000 atau lebih kerana bagi saya beg murah pun sudah cantik.

"Pada akhirnya, apa yang orang nampak adalah cara kita bawa diri, bukan harga yang tergantung di bahu. Sokong tak? Kalau sokong angkat tangan.

Sumber: Threads