Talentbank perkenal program khas Career Passport dengan kerjasama KPT, bimbing pelajar ke alam pekerjaan

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 1:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Talentbank perkenal program khas Career Passport dengan kerjasama KPT, bimbing pelajar ke alam pekerjaan Image from: Talentbank perkenal program khas Career Passport dengan kerjasama KPT, bimbing pelajar ke alam pekerjaan liza16/11/2026 - 13:07 Kerjasama antara KPT, universiti dan Talentbank itu turut menyokong aspirasi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan industri Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov – Talentbank memperkenalkan platform khas ‘Talentbank Career Passport’ bagi membantu pelajar membuat persediaan memasuki alam pekerjaan seawal tahun pertama pengajian menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), universiti awam dan swasta serta rakan industri.

 

Inisiatif itu bertujuan membimbing pelajar sepanjang tempoh pengajian sehingga memperoleh pekerjaan pertama selain merapatkan jurang antara sistem pendidikan tinggi dengan keperluan sebenar industri.

 

Kerjasama berkenaan dimeterai menerusi majlis menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT, Talentbank, universiti, persatuan serta dewan perniagaan pada Majlis Penyampaian Graduates’ Choice Award (GCA) edisi kesembilan di Grand Ballroom, Sunway Resort baru-baru ini.

 

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan manakala Talentbank diwakili Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ben Ho.

 

t
Sesi bergambar berkumpulan bersama penyampai anugerah

 

t
Sesi bergambar berkumpulan dengan pemenang

 

Career Passport himpunkan peluang pekerjaan, latihan industri

Talentbank berkata, Career Passport direka sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai kemudahan berkaitan pembangunan kerjaya, termasuk peluang pekerjaan, latihan industri, hubungan dengan alumni, latihan temu duga dan padanan pekerjaan.

 

“Menerusi platform itu, pelajar boleh mengakses kekosongan jawatan serta peluang latihan industri daripada majikan di seluruh kampus dan persatuan rakan kerjasama, bukan hanya syarikat yang mengunjungi universiti masing-masing.

 

“Pada masa sama, pusat kerjaya universiti boleh memantau perkembangan pelajar sepanjang tempoh pengajian dan mengenal pasti keperluan sokongan lebih awal bagi membantu mereka membuat persediaan memasuki pasaran pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Platform itu turut menyediakan akses kepada ribuan mentor profesional yang disahkan daripada syarikat terkemuka bagi membolehkan pelajar mendapatkan panduan secara langsung mengenai laluan kerjaya, jangkaan industri dan kemahiran yang diperlukan majikan.

 

Bagi industri, pendekatan itu membuka peluang kepada syarikat untuk menjalin hubungan dengan bakal tenaga kerja lebih awal, selain menyampaikan keperluan kemahiran yang relevan kepada pelajar sebelum mereka menamatkan pengajian.

 

t
Ben Ho

 

Sokong Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2026-2030

Kerjasama antara KPT, universiti dan Talentbank itu turut menyokong aspirasi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan industri.

 

Pelan berkenaan antara lain bertujuan melahirkan graduan yang berdaya saing, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan pekerjaan serta menggalakkan pembangunan kemahiran secara berterusan.

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho berkata, pihaknya berharap setiap anak muda di Malaysia mendapat bimbingan kerjaya sejak hari pertama memasuki universiti sehingga memperoleh pekerjaan pertama dan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat.

 

Beliau berkata, usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh dilaksanakan oleh satu organisasi sahaja.

 

t

 

GCA 2026 terima hampir sejuta undian

Sementara itu, GCA 2026 menerima sebanyak 957,946 undian, meningkat 29% berbanding tahun sebelumnya yang mencerminkan pandangan pelajar dan graduan terhadap majikan pilihan di Malaysia.

 

Undian itu melibatkan pelajar dan graduan dari setiap negeri, dengan pengiktirafan diberikan kepada syarikat multinasional serta organisasi tempatan yang menjadi pilihan tenaga kerja masa depan.

 

GCA ditentukan sepenuhnya menerusi undian pelajar dan disahkan oleh pengamal perkhidmatan kerjaya dari universiti tempatan, sekali gus memberikan gambaran kepada majikan mengenai persepsi bakat masa depan terhadap organisasi mereka.

 

Talentbank yang ditubuhkan pada 2010 mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang kebolehpasaran graduan menerusi kerjasama dengan pelajar, universiti, majikan dan kerajaan.

 

Pelajar, graduan dan majikan boleh mendaftar profil menerusi platform talentbank.ai, manakala senarai penuh pemenang GCA 2026 boleh dirujuk di graduateschoiceaward.com. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved