SCC, Swepa bekerjasama perkenal Program Dayang perkasa usahawan wanita

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 5:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

SCC, Swepa bekerjasama perkenal Program Dayang perkasa usahawan wanita

PENAMPANG: Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (Swepa) menjalinkan kerjasama bagi memperkenalkan Program Dayang untuk Pemerkasaan Ekonomi menerusi satu sesi khas untuk wanita bertemakan Memperkasa Wanita Melalui Ilmu dan Inspirasi.

Dayang yang membawa maksud Daya Upaya Peluang Usahanita adalah inisiatif utama di bawah Belanjawan Negeri Sabah 2025. Program itu dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, tahun lalu.

Warganegara Malaysia yang terdiri daripada usahawan wanita muda di Sabah berusia antara 18 hingga 55 tahun serta mempunyai perniagaan berdaftar di negeri ini atau bercadang mendaftarkannya menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) layak memohon Pinjaman Dayang.

Dayang adalah program kerjasama strategik antara SCC dan Institut Kajian Pembangunan (IDS). Pemohon dikehendaki mengikuti latihan bimbingan oleh IDS selama 18 bulan selepas pinjaman disalurkan.

Mengulas mengenai program itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCC Charles Peter Mojuntin menegaskan bahawa pemerkasaan bukan sekadar memberi wanita tempat di meja perbincangan sebaliknya memberikan kebebasan kepada mereka untuk membina peluang dan ruang sendiri.

Beliau berkata walaupun konsep Program Dayang diterajui IDS, peranan SCC juga amat penting.

“IDS menyumbang kepakaran dalam penyelidikan, pembangunan keusahawanan, pembinaan kapasiti dan pelaksanaan dasar manakala SCC membawa pengalaman luas dalam pembiayaan dan pengurusan kredit.

“Bersama-sama, kedua-dua institusi membangunkan program yang bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan pembiayaan usahawan wanita malah menangani cabaran lebih luas yang sering menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan Program Dayang, beliau berkata program itu berbeza daripada pinjaman konvensional SCC kerana ia bukan sekadar menyediakan pembiayaan, sebaliknya menawarkan pakej lengkap yang menggabungkan modal, latihan, bimbingan, pendedahan pemasaran dan pemantauan berterusan.

“Pinjaman Dayang dirangka bagi menangani kekangan dari segi modal, teknologi, pasaran dan rangkaian perniagaan,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan antara SCC dan Swepa bagi menandakan kerjasama itu pada Khamis ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) SCC Patricia Chow, Pengurus Kredit Rachellyinna Tanggau, Pegawai Kredit Neanna Dalansing dan Caroline Monica Dee, bekas Presiden Swepa Lai Fui Nar, Setiausaha Eksekutif Emmie Lumihan, Ketua Jawatankuasa Latihan Chin Kui Jin serta ahli, Melissa Della Joy.

Sesi khas Memperkasa Wanita Melalui Pendidikan dan Inspirasi (khas untuk wanita) bagi memperkenalkan Program Dayang itu adalah percuma dan akan diadakan pada 14 November, dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Auditorium Ibu Pejabat SCC, Donggongon.

Presiden Swepa Betty Epin berterima kasih kepada SCC kerana memberi peluang kepada usahawan wanita mengenali Program Dayang yang boleh dimanfaatkan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan.

“Melalui Swepa, ahli juga berpeluang memperkasakan diri menerusi pendidikan dan latihan ke arah mengembangkan potensi kepimpinan mereka sepenuhnya,” katanya.

Beliau menggalakkan usahawan wanita sedia ada atau bakal usahawan wanita supaya merebut peluang menerusi Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Wanita yang menawarkan tiga manfaat utama iaitu peluang pembiayaan perniagaan, pembangunan keusahawanan dan kepimpinan serta pertumbuhan perniagaan, pemasaran dan bimbingan.

Menurut Epin, tiga penceramah yang pernah menerima anugerah dan merupakan ahli Swepa akan berkongsi pandangan serta pengalaman masing-masing bagi memberi inspirasi dan memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan diri.

Mereka ialah Anne Antah, Rachel Chan dan Vellarry Yong.

Antah ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chanteek Borneo Sdn Bhd, sebuah syarikat berpangkalan di Kota Kinabalu yang mengkhusus dalam reka bentuk tekstil mengikut tempahan serta percetakan fabrik digital untuk pakaian korporat, uniform, cenderamata dan keperluan perniagaan lain.

Selain komited terhadap usaha memperkasakan komuniti menerusi keusahawanan, beliau turut mengasaskan program Mama JaRum yang menyediakan peluang menjahit kepada wanita yang bekerja dari rumah.

Beliau menerima Anugerah Usahawan Wanita Harapan pada 2021 sempena sambutan Hari Wanita peringkat negeri.

Chan pula adalah juruukur bahan dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam industri pembinaan. Beliau menghabiskan 20 tahun dalam perniagaan pembinaan keluarganya dan kini berkhidmat sebagai juruukur bahan kanan serta penyelaras perancangan projek di sebuah syarikat pembangunan hartanah.

Sebelum ini, beliau turut mengusahakan perniagaan spa dari 2013 hingga 2021.

Penerima gelaran Toastmaster of the Year 2025-2026 itu mempunyai minat mendalam terhadap komunikasi, kepimpinan, pembelajaran berterusan dan usaha memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus berkembang.

Yong pula ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Oupus Organics PLT, sebuah perusahaan sosial berpangkalan di Sabah yang mengkhusus dalam produk penjagaan kulit berasaskan botani menggunakan bahan tempatan seperti biji bambangan.

Dengan latar belakang dalam bidang bioteknologi, beliau menggabungkan sains, kelestarian dan keusahawanan dalam perniagaannya.

Komitmennya membantu komuniti kurang mendapat perhatian membina keyakinan diri dan sumber pendapatan turut dizahirkan menerusi usaha memperkasakan golongan ibu, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) melalui latihan kemahiran komuniti serta peluang menjana pendapatan secara fleksibel.

Beliau adalah penerima Anugerah Ikon SDG 2024.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved