sarah08/10/2026 - 12:47 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) bakal menawarkan rumusan tenaga bersih kepada pelabur industri termasuk tenaga solar, pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penyimpanan tenaga.
Tawaran tersebut dapat dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Advancecon Development Sdn Bhd, pemaju induk SVTP, dan ACEN C&I MY Holdings Sdn Bhd bagi meneroka rumusan tenaga boleh diperbaharui yang kos efektif serta boleh diskala untuk pengguna komersial dan industri.
Pengarah Urusan Kumpulan Advancecon Holdings Bhd, Phum Boon Eng berkata, pengeluar kini memerlukan lebih daripada sekadar tanah perindustrian yang sedia untuk pembangunan, sebaliknya ekosistem yang mampu menyokong operasi dan pertumbuhan jangka panjang.
“Peranan kami adalah untuk menjangka keperluan masa depan dengan menyatukan rakan kongsi, teknologi dan keupayaan yang tepat bagi memudahkan perniagaan melabur, beroperasi dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan ACEN C&I itu merupakan sebahagian daripada usaha Advancecon membangunkan ekosistem perindustrian generasi baharu menjelang pelancaran fasa pertama SVTP seluas 816 ekar.
Katanya, rumusan tenaga berkenaan dijangka meningkatkan daya tarikan SVTP kepada pengilang yang semakin menitikberatkan kos tenaga, akses kepada tenaga bersih serta keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam keputusan pelaburan.
Menerusi kerjasama itu, syarikat yang beroperasi di SVTP berpotensi mendapatkan bekalan tenaga boleh diperbaharui daripada pemasangan solar atas bumbung dan projek solar berskala utiliti menerusi Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).
Inisiatif tersebut turut menyediakan akses kepada atribut alam sekitar daripada tenaga boleh diperbaharui yang dibeli bagi menyokong sasaran ESG dan penyahkarbonan syarikat dengan komitmen kemampanan global.
Selain itu, kedua-dua pihak akan meneroka pembangunan infrastruktur pengecasan EV berasaskan tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong peningkatan penggunaan kenderaan komersial elektrik dalam sektor perindustrian.
Skop Kerjasama
Skop kerjasama turut merangkumi penerokaan penyimpanan tenaga bateri, rumusan pengurusan tenaga pintar serta Rangkaian Pengedaran Persendirian (PDN) bagi mengintegrasikan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam ekosistem tenaga SVTP.
Ketua Pegawai Eksekutif ACEN C&I, Kelvin Yuen berkata, pengintegrasian rumusan tenaga boleh diperbaharui ke dalam reka bentuk taman perindustrian sejak peringkat awal merupakan pendekatan praktikal bagi membantu mengurangkan kos dan mencapai sasaran ESG dalam jangka panjang.
“Kerjasama kami dengan Taman Teknologi Silver Valley memberi peluang untuk bekerjasama dengan pengguna tenaga perindustrian yang bertanggungjawab bagi memacu keuntungan dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.
SVTP merupakan pembangunan perindustrian bersepadu seluas 2,700 ekar di Ipoh, dengan fasa pertama seluas 816 ekar dibangunkan bersama Advancecon dan Perak Corporation Bhd, yang menyasarkan industri pembuatan maju dan bernilai tinggi.
Advancecon berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas untuk membangunkan rangkaian rakan strategik bagi mengukuhkan cadangan nilai SVTP kepada pelabur, manakala pelaksanaan projek tenaga individu tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, kelulusan kawal selia dan perjanjian muktamad.- DagangNews.com




