
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui perkhidmatan tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal beroperasi pada 12 Disember ini manakala penjualan tiket pula dijangka akan bermula pertengahan November depan.
Harga tiket yang bermula serendah RM125 bagi perjalanan transit Gombak ke Kota Bharu nyata mengundang pelbagai reaksi dari orang ramai.
Ada yang menyokong namun ada juga yang berpendapat harga tersebut ‘mahal’ dan berharap agar kadar terbabit dikaji semula.
Ini kerana segelintir individu merasakan harga tambang ECRL terlalu tinggi khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan menjangkakan harga lebih murah berbanding yang diumumkan.
Tambang ECRL Berpatutan, Mampu Dibayar Oleh Golongan B40
Semalam (22 Oktober), Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan tambang ECRL tidak membebankan pengguna.
Malah, beliau berpendapat tambang itu berpatutan malah mampu dibayar oleh mereka dari golongan B40.
Ini kerana jelasnya, kadar itu telah ditetapkan berdasarkan kajian secara menyeluruh yang telah dilaksanakan sebelum diumumkan kepada orang ramai.
“Kita berasakan ia (tambang) berpatutan dan mampu termasuk golongan B40, malah harganya tidak jauh (beza) dengan perkhidmatan bas manakala kapal terbang lebih tinggi.
“Saya dapati dalam media sosial tidak ada komen negatif berhubung tambang ini (harga tiket), malah ramai menyambut baik dan sikit-sikit itu biasalah,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Harap Anak Pahang Dapat Diskaun Atau Tambang Khas Bagi Perkhidmatan ECRL
Mengulas mengenai cadangan mengadakan diskaun khas buat anak Pahang termasuk diskaun hari lahir, Wan Rosdy menjelaskan perkara itu perbincangan lanjut bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Namun jelasnya, sebarang cadangan ke arah tersebut perlu diteliti dan dinilai terlebih dahulu dengan mengambil kira kemampuan kewangan serta implikasi pelaksanaan sebelum sebarang keputusan diputuskan, lapor Malaysia Gazette.
Beliau dalam masa sama menjelaskan Kerajaan Negeri Pahang turut berhasrat agar anak Pahang diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan berkaitan ECRL khususya di tujuh stesen yang terdapat di negeri itu.
“Kita juga mahu penduduk setempat menikmati peluang perniagaan dan kegiatan ekonomi di sekitar stesen, termasuk dalam sektor perkhidmatan dan logistik.
“Kita tidak mahu anak Pahang hanya menjadi pemerhati kepada pembangunan yang berlaku.
“Kita mahu mereka turut menjadi tenaga kerja dan penggerak kepada kemajuan negeri sendiri,” katanya.
Pengguna Nikmati Diskaun 30% Untuk Bulan Pertama Operasi, Golongan Tertentu Bakal Nikmati 40% & 50%
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan tambang tiket kelas ekonomi bagi perjalanan Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125 sehala manakala bagi perkhidmatan ekspres laluan sama dengan harga RM147.
Namun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan sebanyak 30% diskaun akan diberi kepada pengguna bagi tiket kelas ekonomi selama sebulan beroperasi.
Bukan itu sahaja, terdapat kumpulan tertentu yang akan menikmati diskaun sebanyak 50% dan 40%.
Kumpulan yang layak menerima tambang dengan diskaun 50% adalah:
- Kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun
- Warga emas warganegara Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas
- Pemegang kad OKU
- Pesara kerajaan
Pelajar yang berusia 13 sehingga 24 tahun pula layak mendapat diskaun sebanyak 40%.
Baca Artikel Berkaitan:
ECRL Bakal Beroperasi 12 Disember, Pengguna Akan Nikmati Diskaun 30% Bagi Tiket Ekonomi Selama Sebulan





